RIO DE JANEIRO, 9 Jan – Legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho semalam mengabadikan kesan tapak kakinya di Dewan Kemasyhuran Legenda Rio di Stadium Maracana, setahun selepas bersara dari dunia bola sepak.
“Ini adalah trofi terbesar dalam karier saya,” ujar pemain berusia 38 tahun itu, dengan nama penuhnya Ronaldinho de Assis Moreira, memberitahu pemberita tatkala dia dipuji oleh berpuluh-puluh pengunjung yang hadir di stadium itu, yang pernah menghoskan perlawanan akhir Piala Dunia 1950.
Kesan tapak kakinya itu kini dipamerkan di stadium itu bersama legenda bola sepak Brazil yang lain seperti Pele dan Zico.
Ronaldinho pernah menerima jemputan untuk mengabadikan tapak kakinya pada 2011, namun terpaksa ditunda atas alasan sibuk.
Bekas penyerang Barcelona itu pernah menjuarai Piala Dunia 2002 bersama skuad Brazil, yang turut dianggotai oleh Ronaldo dan Rivaldo, menjaringkan satu sepakan percuma jarak jauh ketika menentang England.
Pada 2005, Ronaldinho pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Eropah di Ballon d’Or, yang akhirnya bersara pada Januari tahun lalu, tujuh tahun selepas kembali ke Brazil.
Sejak itu, dia berkata ‘menjalani kehidupan aktif’ dan turut mengakui merindui saatnya beraksi sebagai seorang pemain bola sepak. – AFP