Ronaldinho dibebaskan selepas lima bulan

ASUNCION, 25 OGOS – Bekas pemain bola sepak Brazil, Ronaldinho telah dibebaskan kelmarin oleh hakim Paraguay selepas menghabiskan tempoh lima bulan dalam tahanan atas kesalahan memiliki pasport palsu.

Hakim, Gustavo Amarilla turut membebaskan abang kepada Ronaldinho, Roberto de Assis Moreira, yang turut di penjara selama sebulan dan empat bulan lagi menjalani tahanan dalam rumah di sebuah hotel di ibu kota Paraguay, Asuncion, atas pertuduhan yang sama.

Bekas pemenang Piala Dunia berusia 40 tahun ‘kini bebas untuk pergi ke mana sahaja negara di dunia yang dia inginkan tetapi dia mesti memaklumkan kami jika dia mengubah kediamannya’ bagi tempoh satu tahun, menurut hakim.

“Dia tidak mempunyai sekatan kecuali untuk memenuhi ganti rugi di atas perbuatannya.”

Ronaldinho menerima terma pembebasannya, termasuk bayaran AS$90,000. Abangnya, yang juga merupakan pengurus kepada Ronaldinho, perlu membayar AS$110,000. Hakim juga menekankan bahawa dia tidak akan mengeluarkan ‘pelepasan muktamad’ bagi kes tersebut melainkan Ronaldinho mendapat manfaat dari ‘penangguhan prosedur secara bersyarat’.

Abangnya, sebaliknya, dijatuhkan hukuman penggantungan dua tahun. Pendakwa raya berkata mereka tidak percaya Ronaldinho mengambil bahagian dalam rancangan untuk mengilang pasport palsu Paraguay tetapi percaya de Assis Moreira sedar bahawa pasport itu palsu.

“Mereka secara terang-terangan menggunakan dokumen umum yang palsu,” kata Marcelo Pecci, salah seorang pendakwa raya, yang mengatakan itu adalah kesalahan ‘sangat serius’.

De Assis Moreira mesti hadir di hadapan hakim di Brazil setiap empat bulan selama dua tahun dan akan mempunyai rekod jenayah.

“Situasi Ronaldinho adalah tidak sama dengan Roberto. Dia tidak diwajibkan untuk hadir di hadapan mana-mana pihak berkuasa kehakiman Brazil. Dia hanya mesti melaporkan sebarang perubahan alamat,” menurut Amarilla, yang menerima saranan empat pendakwa raya untuk mengelak bagi perbicaraan lisan.” – AFP

Ronaldinho telah dibebaskan oleh hakim Paraguay selepas menghabiskan tempoh lima bulan dalam tahanan atas kesalahan memiliki pasport palsu. – AP