Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ronaldo bantu Al Nassr raih kemenangan

    TEHRAN, 20 SEPT – Cristiano Ronaldo menikmati penampilan sulung dalam Liga Juara-Juara Asia ketika dia membantu Al Nassr meraih kemenangan 2-0 menentang Persepolis yang bermain dengan 10 pemain di Iran, kelmarin.

    Pemenang Ballon d’Or lima kali itu, yang memiliki lima gelaran Liga Juara-Juara UEFA, mengetuai pasukan Arab Saudi itu yang meraih tiga mata pada perlawanan pembukaan dalam Kumpulan E.

    Perlawanan di Stadium Azadi di Tehran itu dimainkan tanpa penyokong selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengekalkan larangan satu perlawanan untuk penyokong Persepolis sejak 2021.

    Itu jelas membantu Al-Nassr, yang menjaringkan kedua-dua gol dalam separuh masa kedua menentang naib juara dua kali, menerusi jaringan sendiri oleh Danial Esmaeilifar dan jaringan yang cemerlang oleh pemain pertahanan, Mohammed Qassem.

    Ia merupakan kali pertama sebuah kelab Saudi bermain di Iran sejak 2016, selepas AFC mengumumkan perjanjian revolusi awal bulan ini antara persekutuan kedua-dua negara.

    Iran dan Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik tujuh tahun lalu, bermakna perlawanan Liga Juara-Juara Asia sejak itu dimainkan di tempat neutral.

    Ronaldo, 38, banyak terlibat secara aktif sepanjang perlawanan, dua kali hampir mencipta gol pada separuh masa pertama.

    Peluang pertamanya datang melalui tandukan yang kuat dari jarak dekat terus ke arah penjaga gol Persepolis, Alireza Beiranvand yang menyebabkan Ronaldo memukul tiang kerana kecewa. AFP

    Aksi Cristiano Ronaldo semasa perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara AFC di Stadium Azadi di Tehran, Iran pada 19 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda