RIYADH, 1 OKT – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, membantu pengurus baharu Al Nassr, Stefano Pioli, mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC apabila pasukan itu menewaskan Al Rayyan dari Qatar dengan keputusan 2-1, dalam perlawanan di Riyadh, awal pagi tadi.
Sadio Mane membuka tirai jaringan buat Al Nassr di Al Awwal Park pada masa kecederaan babak pertama, apabila bekas penyerang Liverpool dan Bayern Munich itu menanduk masuk hantaran silang cantik Sultan Al Ghannam dari jarak dekat.
Ronaldo, yang membuat penampilan pertamanya dalam Liga Juara-Juara Asia yang telah dijenamakan semula setelah terlepas aksi seri 1-1 menentang Al Shorta dari Iraq minggu lalu, hampir menambah jaringan di awal separuh masa kedua, namun golnya dibatalkan kerana ofsaid yang tipis.
Bagaimanapun, pemenang lima kali Liga Juara-Juara UEFA itu menggandakan kedudukan Al Nassr pada minit ke-76 selepas menerima hantaran Abdulrahman Ghareeb, sebelum melakukan rembatan melengkung cantik menggunakan kaki kiri yang berjaya menembusi gawang lawan.
Pasukan tuan rumah bagaimanapun hampir dikejutkan lewat perlawanan, apabila Roger Guedes dari Brazil menjaringkan gol hasil hantaran rendah Aschraf Bencharki di tiang belakang. Namun, Al Nassr berjaya mempertahankan kedudukan untuk mengutip empat mata daripada dua perlawanan.
Sementara itu, pasukan Arab Saudi yang lain, Al Ahli, turut mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen Liga Juara-Juara Asia, apabila Riyad Mahrez menjadi inspirasi dalam kemenangan 2-0 ke atas juara UAE, Al Wasl, di Dubai.
Bekas pemain sayap Manchester City itu membuka jaringan di Stadium Zabeel seawal minit ketiga, dengan bijak mengawal hantaran panjang Roger Ibanez sebelum melepaskan rembatan rendah ke sudut gawang Al Wasl. – AFP