Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ronaldo berehat akibat jangkitan virus

    TOKYO, 15 SEPT – Cristiano Ronaldo akan terlepas aksi pembukaan Al Nassr dalam Liga Juara-Juara Asia minggu ini menentang Al Shorta dari Iraq setelah didiagnosis mengalami jangkitan virus, hari ini.

    Bintang veteran Portugal itu kini dalam misi memburu gelaran tertinggi kelab Asia bagi melengkapkan senarai kejayaannya apabila kejohanan tersebut bermula esok.

    “Kapten Al Nassr, Cristiano Ronaldo tidak sihat hari ini dan telah didiagnosis dengan jangkitan virus,” menurut kenyataan kelab yang dimuat naik di platform media sosial X, hari ini.

    “Doktor pasukan mengesahkan dia perlu berehat dan tinggal di rumah. Oleh itu, dia tidak akan mengikuti pasukan ke Iraq hari ini. Kami mendoakan agar kapten kami cepat sembuh.”

    Bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu telah menyaksikan percubaan pertamanya bersama Al Nassr dalam Liga Juara-Juara Asia berakhir di peringkat suku akhir, apabila mereka tewas melalui sepakan penalti kepada juara akhir, Al Ain.

    Reaksi Cristiano Ronaldo sebelum perlawanan bola sepak UEFA antara Portugal dan Scotland di stadium Luz di Lisbon pada 8 September. – AFP

    Kini, kejohanan yang telah dijenamakan semula sebagai Liga Juara-Juara Asia Elite itu menyaksikan Al Nassr dan kelab-kelab Saudi lain menjadi ancaman utama selepas perbelanjaan besar dilakukan untuk menarik pemain-pemain bintang seperti Ronaldo dan Neymar dalam tempoh dua tahun terakhir.

    Ivan Toney dari England adalah nama besar terbaharu yang berhijrah ke Saudi setelah meninggalkan Brentford untuk menyertai Al Ahli bulan lalu dengan harga lebih AS$45 juta.

    Sebagai sebahagian daripada pembaharuan kejohanan ini, Arab Saudi yang dijangka menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 akan menganjurkan kejohanan mini bermula dari peringkat suku akhir untuk menentukan juara yang bakal membawa pulang hadiah bernilai sekurang-kurangnya AS$12 juta.

    Al Nassr, Al Ahli dan Al Hilal yang dibarisi Neymar akan menyertai kejohanan itu yang menyaksikan 24 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan Timur dan Barat.

    Setiap pasukan akan beraksi menentang lapan lawan berbeza dalam peringkat kumpulan dan lapan pasukan teratas dari setiap zon akan mara ke pusingan 16 terbaik tahun depan pada bulan Mac. Aksi peringkat akhir akan berlangsung di Arab Saudi mulai 25 April hingga 4 Mei. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda