Wednesday, April 23, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ronaldo buru kejayaan dalam Liga Juara-juara Asia

    JEDDAH, 23 APRIL – Cristiano Ronaldo dari pasukan Al Nassr, sedang memburu kejayaan Liga Juara-juara AFC di laman sendiri apabila bertanding peringkat kalah mati bermula pada hari Jumaat nanti.

    Negara padang pasir itu menjadi tuan rumah pada suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir pertandingan kelab utama Asia dengan wajah dan format baharu tahun ini dengan gelaran AFC Champions League Elite berlangsung pada 25 April hingga 3 Mei di Jeddah.

    Kelab Saudi yang kaya dengan wang tunai telah memikat rami bintang bola sepak dari Eropah, menjadikan kelab Al Ahli, Al Hilal dan Al Nassr adalah antara pilihan untuk menjulang trofi di Stadium King Abdullah Sports City yang mempunyai kapasiti 62,000 orang.

    Ronaldo dari Portugal, bekas bintang Manchester United dan Real Madrid, masih kuat pada usia 40 tahun dan mempunyai tujuh gol dalam pertandingan musim ini ketika dia berhasrat untuk memenangi Liga Juara-Juara AFC pertamanya di penghujung kariernya.

    Jurulatih Al Nassr, Stefano Pioli percaya pasukannya, yang tewas pada suku akhir tahun lalu, boleh pergi jauh pada kali ini.

    “Saya sentiasa mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pemain kerana kerja keras kami dalam latihan,” kata bekas jurulatih AC Milan itu.

    “Kadang-kadang keputusan tidak memberi keadilan kepada kita tetapi kita tahu bahawa kita berada di jalan yang betul.”

    Sebagai permulaan, Al Nassr mesti mengatasi finalis yang kalah tahun lalu, Yokohama F-Marinos dari Jepun yang dipimpin Gareth Southgate.

    Pemenang antara keduanya pula akan bertemu sama ada Kawasaki Frontale, atau Al Sadd dari Qatar di separuh akhir.

    Sementara Al Hilal, yang berhasrat untuk menjadi juara Asia untuk kali kelima yang melebarkan rekod, berdepan pemain pertama Korea Selatan, Gwangju.

    “Al Hilal adalah pasukan yang bagus, seperti kebanyakan pasukan Barat dan, sejujurnya, lebih baik daripada pasukan dari Timur,” kata pengarah teknikal Gwangju, Jang Ki-bong.

    “Tetapi kami tidak takut dan kami akan berjuang untuk menentang kemungkinan dan memastikan kami melakukan segala yang kami mampu untuk bersaing dengan mereka.”

    Al Ahli pula membariskan bekas penyerang Liga Perdana Inggeris, Ivan Toney, Roberto Firmino dan Riyad Mahrez untuk berdepan Buriram United dari Thailand.

    “Mengadakan perlawanan akhir di Jeddah akan membantu kami, dan kami akan memberikan segala yang kami ada untuk memenangi kejuaraan,” kata bekas penyerang Manchester City, Mahrez. – AFP

    Aksi Cristiano Ronaldo (kanan) semasa pertemuan antara Portugal dan Turkiye pada Jun 2024. Beliau buru kejuaraan AFC  – Gambar fail Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda