MADRID, 15 Feb – Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol ketika Real Madrid bangkit untuk mengejutkan Paris Saint-Germain (PSG) 3-1 pada pertemuan pertama dua pasukan gergasi Liga Juara-Juara dalam kelompok 16 terakhir, semalam.
Ronaldo menjaringkan gol ke-100 saingan Liga Juara-Juara untuk juara bertahan Real, menerusi sepakan penalti, sebelum tamat babak pertama bagi memadamkan jaringan pembukaan Adrien Rabiot hasil umpanan Neymar untuk kelab Perancis itu.
Bintang Portugal itu kemudian meledak gol keduanya ketika permainan berbaki tujuh minit, disusuli jaringan Marcelo yang memberi keselesaan buat Real menjelang aksi timbal balik di Paris pada 6 Mac ini.
“Hari-hari sebegini akan diingati, dan cara yang lebih baik untuk melakukannya ialah dengan menunjukkan karakter seperti kami tunjukkan,” kata kapten Real, Sergio Ramos.
“Kami perlu terus bermain begini, dengan keazaman untuk mempertahankan Liga Juara-Juara. Anda tidak boleh mengharapkan Real Madrid untuk mati dan berkubur.”
Sementara itu Rabiot berkata PSG masih dibelenggu masalah yang sama.
“Kami sentiasa berkata perkara yang sama dan kami sering terperangkap dengan cara yang sama,” kata Rabiot.
“Masalahnya ialah ia begitu mudah menjaringkan lapan gol ke atas Dijon, atau empat gol dalam perlawanan liga. Namun dalam perlawanan begini anda perlu menyerlah.”
Dalam pada itu, Pengurus pasukan Real Madrid, Zinedine Zidane merasakan skuadnya berhak meraih kemenangan selepas juara bertahan itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-1.
“Kami boleh berpuas hati dengan corak permainan kami. Kami terus berjuang hingga ke akhir.
“Ia keputusan yang baik dan pasukan berhak mendapat ucapan tahniah,” kata pengurus dari Perancis itu.
“Ia hari yang baik, kami berhak mendapat kemenangan ini. Semuanya bagus dan setiap orang memainkan peranan penting.
“Kami perlu bergembira dengan apa yang kami lakukan ke atas pasukan bagus yang mampu menjadikan situasi sukar buat anda. Kami amat bangga dengan pasukan,” katanya.
Sebaliknya di kem PSG, Pengurus pasukan berkenaan, Unai Emery kecewa dengan pengadil dari Itali, Gianluca Rocchi.
“PSG bermain dengan baik. Mereka menunjukkan karakter. Kami berhak mendapat keputusan lebih baik tetapi pengadil tidak membantu kami,” kata Emery yang berasakan skuadnya juga berhak mendapat sepakan penalti apabila Sergio Ramos dikatakan menahan rembatan Rabiot menggunakan tangan.
“Penalti mereka tidak begitu jelas. Sepatutnya kami mendapat penalti kerana bola jelas terkena tangan Ramos. Pengadil membuat keputusan yang merosakkan kami.”
PSG akan bertemu Real di Parc des Princes untuk aksi perlawanan kedua pada 6 Mac ini. – AFP