Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ronaldo enggan terburu-buru

    LISBON, 12 DIS – Cristiano Ronaldo baru-baru ini berkata ‘tak guna berikan sebarang reaksi pada masa ini,’ selepas Portugal tersingkir dalam saingan Piala Dunia.

    Ronaldo masih berada di Qatar meskipun kebanyakan ahli pasukannya telah pulang ke rumah dan tiba di Lisbon pada petang Ahad.

    “Memenangi Piala Dunia untuk Portugal ialah impian paling besar dalam karier saya. Mujur saya telah memenangi banyak kejuaraan di peringkat antarabangsa, termasuk Portugal,” tulis Ronaldo di Instagram.

    Dia tidak menyatakan mengenai persaraannya tetapi dia bermula dari bangku pemain simpanan dalam dua perlawanan terakhir Portugal, satu keputusan yang menimbulkan perdebatan di negaranya dan dunia bola sepak.

    Pada usia 37 tahun, Ronaldo telah beraksi dalam Piala Dunia sebanyak lima kali. Sebaik sahaja wisel penamat ditiup, dia berjalan keluar padang sambil menitiskan air mata.

    Ronaldo kini tidak mempunyai kelab selepas berpisah dengan Manchester United.

    Menurut media Portugal, Ronaldo mengancam untuk meninggalkan skuad selepas dia digugurkan daripada kesebelasan utama, tetapi hal itu telah dinafikan oleh jurulatih, Fernando Santos, yang bakal berdepan dengan Persatuan Bola Sepak Portugal bagi membincangkan hala tuju dirinya.

    “Saya cuma mahu semua orang tahu bahawa banyak perkara telah diperkatakan, telah ditulis, telah diagak, namun semangat saya untuk Portugal tidak pernah berubah.

    “Saya akan sentiasa menjadi seorang lagi pemain yang berjuang untuk semua orang dan saya tidak akan meninggalkan rakan sepasukan serta negara saya.” – AFP

    Reaksi Ronaldo selepas tamat perlawanan suku akhir Piala Dunia antara Maghribi dan Portugal di Stadium Al Thumama, Doha. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda