ROM, 29 JAN – Cristiano Ronaldo (gambar bawah) telah melanggar peraturan sekatan perjalanan COVID-19 apabila didapati mengunjungi sebuah resort penginapan di kawasan pergunungan menurut laporan media semalam.
Penyerang Juventus itu didapati melakukan perjalanan ke Courmayeur, iaitu 150 kilometer barat laut dari ibu pejabat kelab Serie A di Turin, bagi meraikan sambutan hari lahir teman wanitanya, Georgina Rodriguez.
Ketika dihubungi AFP, Juve enggan memberikan sebarang kenyataan membabitkan perkara itu. Georgina Rodriguez yang berusia 27 tahun semalam telah memuat naik video mereka berdua menaiki kenderaan salji di Instagram, kemudian beliau memadamnya, namun ia disedari oleh beberapa laman web media Itali.
Akhbar The Gazzetta dello Sport melaporkan Ronaldo dan Rodriguez meluangkan malam di hotel dan bersiar-siar di kawasan bersalji keesokan paginya sebelum kembali ke Turin. Mengikut undang-undang COVID-19 di Itali, pasangan itu sepatutnya tidak meninggalkan bandar Turin. Mereka berdepan hukuman denda 400 Euro (AS$485).
Pemain bola sepak berusia 35 tahun itu pernah terlibat dalam kontroversi berkaitan pelanggaran peraturan koronavirus sebelumnya.
Dia dikritik pada Oktober kerana melakukan perjalanan ke Portugal sementara Juventus dalam pengasingan diri setelah dua kes positif.
Ronaldo kemudian disahkan positif dan kembali ke Itali untuk menghabiskan beberapa minggu di rumah untuk menjalani kuarantin. – AFP