LISBON, 7 SEPT – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo berkata kelmarin bahawa dia mahu pergi lebih jauh selepas menjadi pemain pertama yang menjaringkan 850 gol dalam kariernya bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr.
“Saya mahu lebih,” kata penyerang itu pada sidang akhbar sebelum berlatih bersama pasukan kebangsaan di Oeiras, pinggir Lisbon, menjelang kelayakan Kejohanan Eropah akan datang.
“Selagi saya bermain saya mahu mendaki ke tahap yang tinggi, saya perlu berfikir jauh,” sambung pemain berusia 38 tahun itu.
Ronaldo menandakan penampilan antarabangsanya yang ke-200 Jun lalu dengan menjaringkan gol tunggal dalam kemenangan Portugal ke atas Iceland, yang membolehkan Selecao kekal di tangga teratas Kumpulan J dalam kelayakan Euro 2024.
Pada Jumaat, juara Eropah 2016 itu akan menentang Slovakia di Bratislava dan Luxembourg tiga hari kemudian di stadium Algarve, di selatan Portugal.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/09/P22-A-paper-web-AFP_08092023.jpg)
“Saya benar-benar mahu memenangi dua perlawanan ini. Jika kami menang kami akan layak secara praktikal,” kata pemenang lima kali Ballon d’Or itu.
Ditanya mengenai persaingannya dengan Lionel Messi dari Argentina, Ronaldo menjawab bahawa kedua-dua-nya menghormati antara satu sama lain dan dia percaya mereka telah mengubah sejarah bola sepak.
Ronaldo tahun ini menandakan ulang tahunnya yang ke-20 dalam pasukan kebangsaan, berkata dia berbangga dengan jangka hayat ini.
“Saya ingin terus bermain, kerana saya rasa baik dan berguna tetapi apa-apa boleh berlaku,” katanya, sambil menambah buat masa ini dia mahu menikmati masa ini dan menetapkan matlamat untuk beraksi cemerlang dalam Euro. – AFP