KAHERAH, 11 MAC – Cristiano Ronaldo terus menentang faktor usia apabila menjaringkan gol ke-927 dalam kariernya ketika membantu Al-Nassr mencatat kemenangan 3-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia semalam.
Ronaldo, yang baru saja menyambut hari jadi ke-40 tahun, telah menjaringkan 464 gol, melebihi 463 gol yang dicatatkannya sebelum usia itu, menurut data yang dikumpulkan oleh akhbar sukan harian Sepanyol dan portal berita Goal.com, lapor agensi berita Jerman dpa.
Dalam perlawanan menentang kelab Iran, Esteghlal Tehran, semalam, Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27 untuk memberikan kelebihan 2-0 kepada Al-Nassr, sekali gus memastikan kemenangan pasukannya mara ke suku akhir.
Meskipun usianya semakin meningkat, pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu terus menunjukkan prestasi cemerlang untuk kelab dan negaranya.
Dalam musim ini sahaja, Ronaldo menjaringkan 27 gol dalam perlawanan rasmi bersama kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr.
Ronaldo bertekad untuk mencapai sasaran 1,000 gol, namun seperti yang dinyatakannya dalam satu temu bual awal tahun ini, beliau sudah menganggap dirinya sebagai yang terbaik dalam sejarah. – Bernama
