Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ronaldo tutup mulut

    SOCHI, 1 Julai – Cristiano Ronaldo enggan memberi komen mengenai masa depan antarabangsanya selepas Portugal tersingkir daripada Piala Dunia selepas tewas 2-1 di tangan Uruguay.

    Bintang Real Madrid itu tersingkir daripada Piala Dunia keempat dengan kekecewaan apabila dua jaringan Edinson Cavani menyaksikan Uruguay mara ke kelompok lapan terakhir.

    Ronaldo yang akan berusia 37 tahun pada Piala Dunia seterusnya, tidak mahu meng-ulas lanjut sama ada dia merancang untuk melanjutkan karier antarabangsanya.

    “Kini bukan masa untuk bercakap mengenai masa depan pemain dan jurulatih,” kata Ronaldo.

    Pemain berusia 33 tahun itu bagaimanapun berkata juara Eropah, Portugal boleh melihat masa depan dengan keyakinan.

    “Kami memiliki kumpulan pemain yang menakjubkan, muda dan bercita-cita besar dan kerana itu saya rasa pasukan ini akan kekal kuat,” katanya.

    Ronaldo menamatkan kempen Piala Dunia dengan empat gol, kurang satu berbanding pemain England, Harry Kane yang mendahului dengan lima gol.

    Sebelum itu jurulatih Portugal, Fernando Santos berharap Ronaldo akan kekal sebagai sebahagian daripada pemain antarabangsa.

    “Ronaldo masih banyak yang boleh diberikan kepada bola sepak dan saya harap dia akan kekal dan membantu pembangunan pemain muda,” katanya.

    “Kami ada ramai pemain muda dan sudah tentu kami semua mahukan dia berada di sana dengan kami.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda