Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Dengan matlamat ‘Mencegah Jenayah Bersama Masyarakat’, ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK) baru-baru ini telah menjalankan rondaan pencegahan jenayah di beberapa buah tempat berdekatan kawasan persekitaran, kediaman, kejiranan dan permukiman mereka.
Aktiviti tersebut diadakan adalah untuk memberi suntikan kepada ahli PK dalam sama-sama secara sukarela dan bertanggungjawab menjaga keharmonian dan keselamatan di kampung dan kawasan masing-masing.
Dalam pada itu, beberapa rondaan pencegahan jenayah telah diadakan di Kampung Lugu dan Kampung Katimahar bersama ahli PK kampung berkenaan, dengan dihadiri keanggotaan dari Balai Polis Sengkurong yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Sengkurong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Haji Mohd Baihaqi bin POKMS Datu Paduka Haji Mohd Tarif.
Rondaan tersebut berakhir pada jam 1 pagi dan tidak menemukan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang.
Sementara itu, rondaan PK turut diadakan di Kampung Sungai Bakong, Kampung Sungai Lalit dan kawasan di persekitarannya, dengan diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Sungai Liang, ASP Mohammad Amerol bin Haji Metussin bersama enam anggota balai.


Rondaan berkenaan turut disertai oleh Pemangku Ketua Kampung Lumut 1, Haji Abdul Azin bin Gani berserta dua orang ahli PK, memberi tumpuan kepada beberapa buah rumah kosong dan rumah sewa di kawasan berkenaan dan rondaan turut tidak menemukan sebarang gejala negatif dan kegiatan jenayah.
Manakala di Labi, Daerah Belait, Unit PK dari Balai Polis Labi juga mengendalikan rondaan yang sama bersama ahli-ahli PK Rumah Panjang Mandaram Besar, Labi. Rondaan tersebut diketuai oleh Focal Point, Lans Koperal 4662 Muhd Izzat Izudin, menumpukan di kawasan taman peranginan, menara DST dan kawasan persekitaran kediaman penduduk kampung di mana tiada kejadian jenayah ditemukan.
Sementara itu, di Daerah Temburong, Balai Polis Bangar turut bergiat aktif menjalankan rondaan PK bersama 13 orang ahli PK Kampung Sibut yang dipimpin oleh Penghulu Mukim Amo, Haji Bahrun bin Haji Talip. Mengetuai rondaan PK pada malam tersebut ialah Sarjan Mejar 2547 Seperidin anak Dingai bersama anggota balai, telah dimulakan dengan taklimat dan penerangan ringkas mengenai langkah-langkah keselamatan sebelum menjalankan rondaan.
Beberapa buah lokasi turut menjadi tumpuan rondaan termasuklah rumah-rumah kosong, balai raya, balai ibadat, kawasan penurunan perahu dan jeti di mana tiada sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang ditemukan.
Rondaan serupa turut diadakan oleh Unit PK Balai Polis Tutong bersama ahli PK Kampung Telisai.
Hadir selaku focal point ialah PK Koperal Wanita 4899 Noraziah bersama dua anggota Balai dan ahli PK Kampung Telisai, Awang Azman bin Haji Ismail.
Operasi rondaan dan pencegahan jenayah ini akan sentiasa dipergiat dan dijalankan di seluruh negara dalam sama-sama menjaga keselamatan dan memastikan kesejahteraan masyarakat awam di negara ini.