Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rondaan pencegahan giat dilaksana

    Oleh Normazlina M.D & Hajah Saemah

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Dalam memastikan keselamatan penduduk, rondaan pencegahan jenayah terus giat dilaksanakan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei bersama ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK).

    Di Daerah Tutong, dalam kemeriahan orang ramai menyaksikan persembahan bunga api yang berlangsung di Pekan Tutong, baru-baru ini menyaksikan, Balai Polis Tutong bersama ahli-ahli PK Kampung Sengkarai telah menjalankan rondaan di persekitaran bangunan-bangunan komersil pekan berkenaan.

    Rondaan berjalan kaki yang bermula jam 8 malam itu melibatkan empat orang ahli PK Kampung Sengkarai bersama anggota Balai Polis Tutong yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Tutong, Inspektor Kanan Maressa binti Morsidi.

    Turut menjalankan rondaan ialah ahli-ahli PK Bukit Beruang dan 11 orang anggota polis di kawasan Perumahan Teres Jalan Bukit Dilou dan Jalan Paya Belambang Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang dengan menggunakan basikal. Sepanjang rondaan tersebut, tidak ada sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tidak diingini ditemui.

    Sementara itu, di Daerah Belait, rondaan pencegahan jenayah turut dijalankan oleh anggota Balai Polis Labi bersama ahli-ahli PK Kampung Labi II dengan membuat pemantauan di bangunan-bangunan kerajaan, taman peranginan serta rumah-rumah penduduk kampung yang melibatkan beberapa buah kampung bermula di Kampung Terawan sehingga ke Jalan Kenapol, Labi.

    Anggota Balai Polis Tutong bersama ahli-ahli PK Kampung Sengkarai semasa membuat rondaan di Pekan Tutong, baru-baru ini.

    PK Kampung Pandan B turut menjalankan rondaan di kawasan persekitaran bawah tadahan Pandan B dengan diketuai oleh Koperal 3028 Mohd Jin bin Roseta.

    Di Daerah Temburong pula, operasi rondaan pencegahan jenayah telah dikendalikan bersama ahli PK Kampung Labu Estate, Mukim Labu dan lapan orang anggota Balai Polis Temburong yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Temburong, Inspektor Alif Nur Khaliq bin Haji Mat Rasil.

    Hadir sama ialah Penghulu Mukim Labu, Haji Abdurrahman bin Haji Nasir selaku penasihat PK serta tiga orang ahli PK Kampung Labu.

    Rondaan dan pemantauan dijalankan di kawasan rumah-rumah kosong dan kawasan sekolah di sepanjang bawah tadahan Mukim Labu.

    Program aktiviti pencegahan jenayah ini bukan sahaja membantu pihak polis menangani jenayah terutama di kawasan perumahan masing-masing, malahan dapat mencegah kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasan-kawasan penduduk kampung.

    Dalam memastikan PK akan terus berfungsi dengan berkesan, pelbagai program turut diatur termasuk menjalinkan kesefahaman dengan pihak polis dalam menjalankan rondaan bersama serta tunjuk ajar mengenai tindakan yang perlu ketika membuat rondaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda