Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rondaan tiga serangkai bermula 11 April ini

    SOOK, 31 Mac – Jabatan Tanah dan Ukur Sabah telah membelanjakan sejumlah RM77,593,600 peruntukan yang diberikan Kerajaan Pusat bagi melaksanakan Program Pengukuran Tanah Adat Anak Negeri dari 2012 hingga 2016.

    Pengarahnya Datuk Safar Untong berkata program itu meliputi pelaksanaan projek dan perolehan yang berkaitan langsung dengan pengeluaran hak milik tanah adat di negeri ini.

    “Sejak 2009 sehingga kini, sebanyak 70 geran komunal telah dikeluarkan dengan keluasan keseluruhan kira-kira 47,194 hektar dan melibatkan 10,260 orang dari 212 buah kampung di 12 buah daerah,” katanya ketika ditemui selepas majlis taklimat pengukuran tanah adat Kampung Sinulihan dan Kampung Mokotog Sook di sini.

    Menurut Safar, 12 daerah tersebut ialah Nabawan, Keningau, Sipitang, Kota Marudu, Papar, Ranau, Beluran, Tongod, Kinabatangan, Pitas, Tenom dan Semporna.

    Katanya, lima lagi kawasan melibatkan daerah Tongod, Beluran dan Kota Belud dengan jumlah keluasan 1,495 hektar melibatkan 412 orang benefisiari telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri untuk menerima geran.

    Manakala, sejumlah 3,079 orang benefisiari di 14 kawasan melibatkan tanah seluas 11,243.94 hektar sedang dalam proses kelulusan kerajaan negeri, katanya.

    Safar turut memberitahu RM10 juta daripada RM20 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat untuk untuk meneruskan program pengukuran tanah NCR tahun ini telah disalurkan kepada jabatan itu pada 19 Feb lepas.

    “Peruntukan besar ini membuktikan kerajaan pusat benar-benar ikhlas dan begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat luar bandar di negeri ini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda