Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Rooh Afza ‘penyegar jiwa’ semasa musim panas

    NEW DELHI – Meskipun Pakistan dan India telah bertempur dalam tiga peperangan dan pertempuran yang tidak terkira banyaknya, namun ketika cuaca musim panas yang semakin teruk dan berlakunya perubahan iklim, rakyat mereka dapat disatukan dengan minuman berwarna merah jambu berusia 115 tahun yang menyegarkan.

    Rooh Afza, minuman yang terdiri daripada ramuan herba dan buah-buahan yang sangat manis diterjemahkan sebagai ‘penyegar jiwa’ bukan sahaja terselamat daripada pembahagian kedua-dua negara pada 1947 namun berkembang maju di kedua-dua belah sempadan.

    Pada hari yang panas baru-baru ini di Old Delhi, kelihatan seorang penjual bernama Firoza memecahkan bongkah ais di dalam sebuah kawah logam, lalu membuka dan menuang sebotol Rooh Afza ke dalamnya sebelum memasukkan sekotak susu dan menambah kepingan tembikai.

    Ini adalah versi istimewa wanita berusia 50 tahun itu sendiri, yang diberi nama ‘Sharbat e Mohabbat’ (‘Drink of Love’) yang dijualnya pada harga 20 rupee (AS$0.25) setiap plastik.

    “Kami menggunakan lebih daripada 12 botol Rooh Afza dan 20 kotak susu, malah menggunakan 30 hingga 40 kotak apabila perniagaannya bagus,” katanya kepada AFP dengan suaranya yang lantang.

    Keadaan gerai menjual Rooh Afza di tepi jalan di Karachi kelihatan sibuk. – AFP
    Seorang penjual bersedia untuk menghidangkan minuman Rooh Afza berisi tembikai kepada pelanggan di sepanjang gerai tepi jalan di Karachi. – AFP
    Seorang penjual menunjukkan botol minuman Rooh Afza kepada pelanggan di sebuah pasar di Karachi. – AFP
    Dua orang pelanggan menikmati kesegaran Rooh Afza yang dicampur dengan keratan tembikai. – AFP
    Kelihatan seorang pekerja menambah bahan semasa proses pembuatan Rooh Afza di kilang Hamdard Laboratories (India) di Manesar. – AFP

    “Saya mengambil alih kedai ini sedekad lalu apabila suami saya meninggal dunia. Dia mula menjual Rooh Afza di sini kira-kira 40-50 tahun lalu. Ia satu-satunya sumber pendapatan saya.”

    Di Pakistan, minuman itu menjadi kegemaran khusus pada bulan Ramadan, di mana ia menjadi hidangan semasa berbuka puasa.

    Tetapi juga disajikan dalam bentuk pencuci mulut, yang digabungkan dengan susu dan kastard, tetap popular sepanjang musim panas di Pakistan, di mana suhu mencecah 50 darjah awal tahun ini.

    Di sebuah gerai tepi jalan di bandar besar Karachi, seorang pemilik gerai Rooh Afza, Muhammad Akram sibuk melayan pelanggannya yang ramai.

    “Seorang gelandangan pernah mencadangkan kepada saya untuk mencampurkan Rooh Afza dengan tembikai yang dipotong dadu yang membuatnya semakin lazat,” katanya kepada AFP. “Rasanya sangat mengagumkan.”

    Di gerai yang sama, Abdul Qahar bekerja secara syif 12 jam mengetuai sekumpulan kakitangan untuk menghidangkan Rooh Afza yang penuh dengan ketulan tembikai dan dihiasi dengan kurma.

    “Ia sangat menyegarkan,” kata suri rumah Neelam Fareed berusia 25 tahun, yang mengembara sejauh lima kilometer menunggang moped bersama suaminya hanya untuk minum minuman berkenaan.

    Rooh Afza pertama kali dijual pada tahun 1907 di Old Delhi, pusat ibu kota India yag sesak oleh Hakim Hafiz Abdul Majeed, seorang pengamal perubatan tradisional.

    Pada tahun 1947, dengan pembahagian India British, seorang anaknya tinggal di Delhi manakala yang lain berada di Pakistan baharu.

    Mereka menubuhkan kilang di setiap negara serta satu di Pakistan Timur, yang menjadi Bangladesh pada 1971 selepas perang kemerdekaan berdarah di bawah dua firma, Hamdard India dan Hamdard Pakistan.

    Hamid Ahmed, cicit pengasas, yang menjalankan perniagaan di India, berkata resipi itu tidak berubah sejak 115 tahun lalu.

    “Ia adalah rahsia besar, malah orang di kilang pun tidak akan mengetahuinya… Saya rasa hanya tiga orang yang akan mengetahuinya,” kata lelaki berusia 45 tahun itu kepada AFP.

    Selain dihidangkan dengan ais, minuman campuran buah-buahan dan herba itu juga terdapat di benua utara, yang dikenali sebagai loo.

    Memandangkan Asia Selatan mengalami cuaca musim panas yang semakin teruk, fenomena yang dipersalahkan atas perubahan iklim, namun ia sekurang-kurangnya masa depan yang cerah untuk prospek perniagaan Hamdard.

    “Saya fikir dengan pemanasan global, suhu semakin meningkat… Rooh Afza tidak akan ke mana-mana tidak lama lagi,” kata Ahmed kepada AFP.

    “Jualan semakin meningkat.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...