WASHINGTON, 29 Jun – Penjaring terbanyak England, Wayne Rooney meninggalkan Everton untuk menyertai kelab Major League Soccer (MLS), D.C. United kelmarin dan dia berkata, dia dahaga untuk mencipta kejayaan di liga tersebut sekali gus mengumpul karier gol.
Kelab Amerika Syarikat (AS) dan Liga Perdana Inggeris itu mengumumkan perjanjian perpindahan secara tetap sementara Rooney dalam perjalanan ke Washington.
Rooney akan menyelesaikan perpindahannya apabila jendela perpindahan MLS buka pada 10 Julai dan akan tersenarai dalam skuad empat hari kemudian apabila United menerima kunjungan Vancouver Whitecaps dalam perlawanan pembukaan di stadium baharu kelab AS itu.

“Teruja kerana menyertai D.C. United pada waktu yang sesuai dengan pembukaan stadium baharu dalam beberapa minggu lagi,” menurut kenyataan Rooney.
“Berpindah ke Amerika dan MLS akan memenuhi pencapaian karier saya. Saya dahagakan kejayaan di sini dan akan memberikan 100 peratus seperti yang saya lakukan bersama pasukan sebelum ini.”
Rooney menandatangani perjanjian tiga tahun setengah yang dikatakan bernilai AS$13 juta. Rooney mengumpul 208 gol di Liga Perdana dan menduduki tangga kedua dalam senarai penjaring sepanjang zaman. – AFP