LONDON, 15 OGOS – Legenda bola sepak England, Wayne Rooney, berasa kurang senang dengan Tom Brady selepas komen yang dibuat oleh bintang NFL itu dalam sebuah dokumentari.
Brady menjadi pemilik minoriti kelab England, Birmingham City pada 2023 dan terlibat dalam siri dokumentari – Built in Birmingham – yang memaparkan suasana di belakang tabir pasukan tersebut, yang pernah dikendalikan buat sementara waktu oleh Rooney, bekas penyerang Manchester United.
Dalam satu klip yang pantas tular di media sosial, Brady berkata dia ‘agak bimbang tentang etika kerja ketua jurulatih kami.’
Komen itu merujuk kepada Rooney, yang hanya bertahan selama 83 hari sebagai pengurus sebelum dipecat apabila Birmingham merosot dalam saingan divisyen kedua, Championship.
Rooney membalas kenyataan juara tujuh kali Super Bowl itu dalam peranannya kini sebagai pengulas untuk BBC, dengan menyifatkan komen Brady sebagai amat tidak adil.

“Tom datang sekali sahaja, iaitu sehari sebelum perlawanan – yang sememangnya hari latihan ringan,” kata Rooney dalam temu bual bersama BBC yang disiarkan kelmarin, ‘dan saya rasa dia tidak begitu memahami bola sepak ketika itu. Mungkin sekarang dia sudah faham.
“Tetapi apa yang saya tahu, dia memang seorang yang rajin bekerja. Kita semua tahu itu.
Sebab itulah saya sangat kecewa dengan komen yang dilemparkan, kerana bola sepak bukan NFL. NFL hanya bermain selama tiga bulan setahun, pemain juga memerlukan rehat, jadi saya rasa cara dia memberi gambaran itu sangat tidak adil.”
Birmingham tersingkir pada musim itu tetapi berjaya kembali mendapat promosi segera musim lalu dan kini kembali bersaing dalam Championship – hanya satu liga di bawah Liga Perdana Inggeris.
“Dengar, saya sangat menghormati Tom Brady – dia salah seorang atlet terhebat, malah mungkin yang terhebat sepanjang zaman,” kata Rooney. “Dan Birmingham nampaknya berada di landasan yang betul sekarang, itu sesuatu yang baik.” – AP

