Dalam kesibukannya mengisi aktiviti sepanjang Ramadan dan membuat persiapan Aidilfitri yang bakal diraikan dalam masa beberapa hari sahaja lagi, penyanyi tersohor Indonesia,
Datuk Seri Rossa sempat terbang ke Malaysia.
Umpama rumah keduanya, pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani ini sentiasa teruja setiap kali dapat bertemu peminat dan kenalannya di sini.
Itu pengakuan jujur Rossa yang kali ini tampil untuk mempromosikan single terbaharunya, Khanti, yang juga merupakan lagu runut bunyi atau OST drama bersiri Viu Indonesia, Bidadari Bermata Bening.
“Khanti yang bermaksud sangat sabar ini merupakan lagu bertemakan kerohanian dan sekali lagi menyaksikan kolaborasi saya bersama Melly Goeslaw selaku komposer dan Andi Rianto untuk gubahan muziknya.
“Lagu ini menampilkan bait lirik yang sangat dalam maksudnya dan setiap kali saya menyanyikannya, umpama memohon doa pada Tuhan.
“Ternyata Melly sentiasa bijak mengusik hati kita semua dengan melodi indah yang diciptakan,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran OST Khanti dan berbuka puasa bersama media baru-baru ini.
Tidak hanya itu, bintang yang mula meledak namanya di Malaysia menerusi lagu Tegar lebih dua dekad lalu itu turut berkongsi perancangannya untuk sekali lagi kembali ke Malaysia selepas Aidilfitri nanti untuk majlis pelancaran album terbaharunya, Another Journey: The Beginning dan diikuti showcase istimewa pada Julai depan.
Ungkap Rossa, tidak lengkap buat dirinya jika tidak berkongsi hal-hal istimewa dalam kerjayanya itu bersama peminat di Malaysia. Malah sanggup berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk tujuan itu.
“Insya-Allah selepas sambutan Aidilfitri saya akan kembali lagi untuk mempromosikan album terbaharu.
“Pada Julai nanti pula, saya akan mengadakan sebuah showcase istimewa di Zepp Kuala Lumpur, anjuran syarikat produksi saya sendiri, Inspire.” – Agensi