Penyanyi Rossa menyimpan hasrat menganjurkan sebuah acara untuk memberikan pakaian-pakaian lama miliknya kepada artis baharu.
mStar memetik laporan Kompas yang menyatakan, Rossa memberitahu pendatang baharu boleh menggunakan peluang tersebut dan memilih mana-mana pakaian yang sesuai untuk digayakan di atas pentas.
“Sebenarnya saya ada menyimpan hasrat untuk membuat satu event di mana baju-baju lama saya mahu diberikan kepada artis lain. Jadi penyanyi baru boleh datang dan pakai pakaian milik saya itu,” katanya.
Dalam pada itu, Rossa memberitahu dia merasakan tindakan yang dilakukan itu sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada penyanyi lain.
“Pakaian saya itu agak mahal juga ya, sampai puluhan juta (rupiah). Peserta Indonesian Idol tahun ini banyak juga yang menggunakan baju saya untuk membuat persembahan dan ada juga yang mereka bawa pulang terus.
“Tapi pakaian yang simpan memori untuk saya. Itu saya akan simpan buat koleksi peribadi,” ujarnya.
Tambah penyanyi lagu Ayat-Ayat Cinta itu lagi, tindakannya melakukan perkara itu juga merupakan tanda sokongan terhadap kerjaya generasi muda dalam dunia muzik.
“Saya banyak menerima baju tajaan daripada rakan-rakan pereka fesyen, kalau saya rasa almari saya sudah mula penuh, saya akan berikan kepada orang lain,” katanya. – Agensi
