Penyanyi Datuk Seri Rossa memuji rakyat Malaysia yang komited menunjukkan sokongan terhadap pembebasan rakyat Palestin menerusi gerakan Blockout2024.
Kata Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handayani, 46, kempen itu dilihat tidak sekuat di Indonesia kerana masyarakat di negaranya mempunyai pemikiran berbeza.
“Sebenarnya gerakan boikot di Indonesia tidak sekuat di Malaysia.
“Saya merasakan impak blockout itu hanya di Malaysia.
“Di Indonesia ada sebahagian masyarakat yang mempunyai pemikiran masing-masing,” katanya kepada mStar.
Rossa berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024 yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Ayat-ayat Cinta ini memberitahu biarpun gerakan boikot tidak terlalu kuat di Indonesia namun rakyat mereka tidak terlepas dalam menunjukkan solidariti terhadap saudara Islam di Palestin.
“Namun itu tidak bermakna mereka tidak menyokong saudara Islam di Palestin. Mereka juga mempunyai sikap solidariti yang tinggi.
“Setiap hari minggu di Indonesia selalu ada perhimpunan untuk memperjuangkan nasib rakyat di Palestin,” ujarnya.
Menyahut gerakan itu, Rossa berkata dia tidak lagi mempromosikan jenama produk yang menunjukkan sokongan terhadap Zionis.
“Saya tidak lagi mempromosi barangan jenama pro-Israel tetapi kalau untuk tujuan kerja dan selagi ia bukan hard sell, mungkin saya tidak kisah untuk terlibat menghadiri acara mereka,” katanya. – Agensi