Ratu pop Indonesia, Datuk Seri Rossa meneruskan kejayaan siri jelajah konsert Another Journey : The Beginning melalui penampilan sulung di pentas berprestij Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 8 Disember depan.
Menurut BH Online, Sabah menjadi lokasi pilihan diva tersohor dari seberang itu selepas konsert sama dipentaskan selama dua hari di Zepp Kuala Lumpur, Julai lalu, disusuli di The Star Theatre Singapura, bulan lalu.
Lebih istimewa buat peminat Sabah, Rossa atau nama sebenar, Sri Rossa Roslaina Handiyani menampilkan sahabat baik, Cakra Khan.
Bakal mendendangkan kira-kira 25 lagu malar segar, Rossa memberitahu, sudah menjadi kemestian bagi dirinya mempersembahkan kelainan di setiap lokasi konsert, termasuk menjemput rakan artis berbeza.
“Di Kuala Lumpur, saya bawa Rizky Febian pada hari pertama dan Mahalini pada hari kedua. Saya juga undang Betrand Peto Putra Onsu.
“Di Singapura, saya jemput Sufi Rashid, selain Mahalini dan Rizky Febian. Kali ini, di Sabah, saya bawa Cakra, sahabat dan penyanyi yang cukup luar biasa serta dicintai orang Indonesia dan Malaysia,” katanya pada sidang media virtual Konsert Another Journey: The Beginning Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Sidang media virtual itu turut dihadiri Cakra.
Mengenai pemilihan Sabah sebagai lokasi siri jelajahnya, Rossa yang berasal dari Sumedang, Jawa Barat mengaku sudah menjadi impiannya membuat persembahan berskala besar di luar Semenanjung Malaysia.
“Konsert di Sabah pasti membawa suasana berbeza kerana peminat dari Sarawak dan Brunei boleh datang.
“Memang sudah menjadi angan-angan saya untuk berjumpa peminat di Borneo. Selalunya, peminat hanya lihat saya di kaca televisyen atau media sosial,” tambahnya. – Agensi