Konsert Another Journey: The Beginning penyanyi terkenal Indonesia iaitu Datuk Rossa di Kuala Lumpur pada Julai depan bakal berlangsung selama dua hari susulan tiket persembahan itu habis terjual dalam tempoh 24 jam.
Pengarah projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri berkata, pihaknya mendengar permintaan peminat yang mahu konsert itu ditambah sehari lagi kerana enggan menghampakan penggemar penyanyi lagu Tegar itu.
Rama memberitahu konsert pada asalnya akan berlangsung pada 14 Julai 2023 dan ditambah sehari lagi iaitu pada 13 Julai 2013.
“Banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum menambah satu lagi malam persembahan, termasuk kekosongan lokasi, penyanyi undangan, pemuzik dan pasukan produksi.
“Kami bersyukur kerana impian itu dapat direalisasikan pada 13 Julai depan, sekali gus memberi ruang kepada peminat Rossa untuk sama-sama berhibur,” katanya.
Another Journey: The Beginning bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Rossa meluahkan rasa terharu kerana kemunculannya di Malaysia terus dinanti oleh ramai peminat.
Rossa berkata, menerusi konsert itu nanti peminat bakal menelusuri perjalanan 25 tahun karier muziknya selain akan mendendangkan lagu-lagu daripada album terbaharunya yang dilancarkan pada Februari lalu sebagai tanda terima kasih atas sokongan peminat.
“Album ini merangkumkan pelbagai emosi dan turun naik saya sebagai manusia sepanjang dunia berdepan pandemik COVID.
Paling istimewa, konsert itu bakal menyaksikan Rossa bergandingan bersama penyanyi muda popular Indonesia iaitu Rizky Febian pada 13 Julai dan Mahalini Raharja (14 Julai). – Agensi