Sinonim dengan lakonan filem aksi, pelakon Malaysia, Datuk Rosyam Nor tidak menolak untuk terus berlakon dalam genre tersebut meski pun usianya hampir mencecah 60 tahun.
Rosyam atau Mohamed Nor Shamsuddin, 57, berkata dia menjadikan pelakon di Hollywood sebagai contoh bagi meneruskan kerjaya dan tidak menjadikan usia sebagai alasan untuk bersara.
“Selagi saya boleh bergerak, ada stamina dan diterima, saya akan berlakon sampai bila-bila.
“Kalau kita tengok pelakon di Hollywood semua sudah tua, elok sahaja berlakon,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Rosyam memberitahu dia perlu menggunakan kelebihan dan pengalaman sebagai pelakon aksi untuk terus bersaing dengan pendatang baharu dalam dunia perfileman.

Kelebihan itu juga, kata Rosyam membuka peluang kepadanya bekerjasama dengan pengarah baharu.
Pelakon filem KL Menjerit itu turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan masih lagi menerima tawaran berlakon filem aksi.
Kongsi Rosyam, dengan kecanggihan teknologi yang ada sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan lakonan yang membabitkan aksi-aksi bahaya.
“Sehingga kini, saya masih menerima tawaran berlakon filem aksi dan saya baharu sahaja habis penggambaran dengan Syamsul Yusof dalam filem The Original Gangster.Sekarang saya sedang menjalani filem Keluang Man.
“Saya bersyukur kerana masih penjadi pilihan penerbit untuk melakonkan filem aksi. Saya bernasib baik walaupun di usia begini masih dapat kekalkan fizikal dan stamina.
“Tetapi tidaklah sama seperti waktu muda dulu. Dengan teknikal yang ada sekarang ini, banyak yang boleh bantu kita,” katanya. – Agensi