Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rotavirus punca 16 individu jatuh sakit selepas kunjungi taman rekreasi

    KUANTAN, 8 SEPT – Jangkitan Rotavirus menjadi punca 16 individu termasuk kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam setelah mengunjungi Taman Rekreasi Che Minah Sayang, Maran pada Khamis lepas.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Rusdi Abdul Rahman berkata seorang wanita berusia 27 tahun yang juga ibu kepada seorang daripada kanak-kanak berkenaan turut mengalami gejala sama.

    Beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Maran pada Khamis lepas, telah menerima satu notifikasi wabak Acute Gastroenteritis (AGE) dalam kalangan kanak-kanak dengan gejala sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam setelah mengunjungi taman rekreasi berkenaan.

    “Hasil ujian makmal mendapati penyebab wabak ini adalah jangkitan Rotavirus manakala hasil ujian makmal bagi pengesahan penyakit kencing tikus (Leptospirosis) adalah negatif.

    “Kesemua kanak-kanak terlibat stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Jengka manakala wanita yang merupakan ibu kepada seorang daripada kanak-kanak tersebut dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Rusdi, Rotavirus berpunca daripada air sungai yang tercemar dengan sisa buangan lampin pakai buang anak damit dan sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak pengurusan taman rekreasi berkenaan menjalankan kerja-kerja pembersihan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda