Gambar AFP
CARACAS – Dari jalan-jalan di Caracas ke tempat makan mewah di New York, Paris dan Tokyo, arepa, roti pipih yang dibuat daripada tepung jagung, sedang mengalami aliran gelombang penghijrahan Venezuela dan memuaskan keinginan mereka terhadap makanan eksotik dan bebas gluten.
Disediakan dalam masa beberapa minit sahaja dengan membentuk bebola daripada tepung jagung dan air yang telah dimasak, ia dileperkan dan kemudian dibakar. Arepa boleh menjadi apa sahaja yang awda mahukan: diisi dengan apa sahaja daripada keju dan daging kepada kekacang atau makanan laut, malah sayur-sayuran.
Pilihan kegemaran di Venezuela ialah ‘reina pepiada’ – campuran ayam, mayonis dan avokado.
‘Viuda’ atau balu, datang tanpa inti – hidangan sampingan yang sesuai untuk sup tetapi juga satu-satunya pilihan untuk kebanyakan orang miskin di Venezuela.
Arepa ‘adalah roti harian penduduk Venezuela. Mereka memakannya setiap hari, setiap malam,” kata Patrick Ribas, yang menterjemah ke dalam bahasa Perancis buku ‘Arepologo’ khusus untuk sajian istimewa jagung.







“Awda boleh meletakkan apa sahaja yang awda mahu ke dalamnya. Ia adalah satu hidangan. Awda juga boleh memakannya begitu sahaja apabila awda tidak mempunyai banyak wang. Inilah yang berlaku bagi kebanyakan rakyat Venezuela,” beritahunya kepada AFP.
Menurut pengarang ‘Arepologo’, Ricardo Estrada Cuevas, arepa ‘adalah makanan yang tidak mempunyai kelas sosial.’
“Ia dimakan oleh semua orang, daripada orang yang paling sederhana dan paling merendah diri kepada seorang pengurus,” katanya kepada AFP.
“Ia adalah makanan yang semua orang makan, dengan cara yang sama, dengan inti yang sama, dengan ciri yang sama. Di mana ada penduduk Venezuela, adanya arepa.”
Eksotik dan bebas gluten
Di tengah-tengah krisis politik dan ekonomi yang menyaksikan KDNK negara mereka menyusut sebanyak 80 peratus antara 2013 dan 2022, hampir satu perempat daripada jumlah penduduk – telah berhijrah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dan mereka telah membawa masakan tersebut bersama mereka.
Marlyn Quiroga, 47, adalah seorang peguam di Venezuela tetapi berpindah lima tahun lalu ke New York.
Dia melakukan kerja-kerja rencam sehingga 2021, apabila dia memulakan perniagaan katering arepa, walaupun mengatakan dia ‘tidak tahu cara memasak telur’ sebelum itu.
“Saya pergi dari rumah ke rumah di Queens: ke salun kecantikan, pejabat, klinik. Saya memberikan sampel percuma untuk mempromosikan perniagaan,” beritahu Quiroga kepada AFP.
Kejayaan datang dengan pantas, kata bos “Arepa LaNewyorkquina,” menjelaskan bahawa semakin ramai orang di ‘City That Never Sleeps’ itu kini lebih suka arepa bebas gluten berbanding roti.
Dan di seberang Atlantik, “Ia merupakan perubahan daripada hamburger yang boleh diperoleh di mana-mana,” kata Jean-Francois Lamaison, seorang pereka digital dan pengunjung restoran berusia 63 tahun di restoran Venezuela ‘Ajidulce’ di Paris.
Bos Ajidulce, Luis Fernando Machado, bekas jurutera petroleum yang berpindah ke ibu negara Perancis pada 2011, memberitahu AFP dia bermula dengan trak makanan tetapi kini menggaji 10 orang.
Restorannya mempunyai dapur terbuka supaya pelanggan dapat melihat makanan mereka disediakan.
“Orang Paris suka meneroka makanan eksotik,” katanya. “Ia bagaikan mengadakan perjalanan ke Caribbean.”
Ia juga disenaraikan dalam daftar restoran bebas gluten di City of Light. “Terdapat ramai pelancong yang datang” atas sebab-sebab itu, kata Machado.
‘Sebarkan budaya kami’
Di Tokyo, ekspatriat Venezuela Raul Marquez, 42, dan isteri warga Jepun, Miho mengiklankan ‘makanan jalanan yang sihat tanpa gluten’ di trak makanan mereka yang menjual arepa.
“Awda tahu, Venezuela telah melalui masa yang sukar sejak beberapa tahun kebelakangan ini… yang mendorong orang ramai berhijrah, dan awda tahu, untuk menyebarkan budaya kita dalam pelbagai cara, makanan adalah sebahagian daripadanya,” beritahu Marquez, yang sendiri berhijrah kira-kira sedekad lalu, kepada AFP. Selepas bertahun-tahun, bagi Marquez, arepa masih mewakili “ibu saya… makan sarapan pagi sebelum pergi ke sekolah.”
“Itulah yang saya (bawa) apabila saya menjual arepa – semangat itu, kasih sayang yang datang dari rumah.”
Kembali di Caracas, Lisbeth Marquez telah menjual arepa di jalanan selama 15 tahun, dari jam 4 petang hingga 2 pagi setiap hari. Hidangan kegemaran peribadinya? “Pabellon”, yang datang bersama mentega cair, kacang hitam, telur dan keju parut. Dia menjual kira-kira 1,200 arepa sehari, tetapi ‘saya tidak pernah jemu memakannya. Arepa terbaik adalah yang dibuat di rumah.’ – AFP

