CAPE CANAVERAL, 22 MEI – Swafoto terbaharu diambil oleh rover Perseverance milik NASA di Marikh telah merakamkan tetamu yang tidak dijangka, pusaran debu Marikh.
Kelihatan seperti kepulan kecil warna pucat, pusaran debu yang berputar itu muncul kira-kira tiga batu di belakang rover semasa sesi fotografi bulan itu. Menurut NASA, swafoto yang dikeluarkan kelmarin itu merupakan gabungan 59 imej yang diambil oleh kamera di hujung lengan robotik rover tersebut.
Rover itu telah mengambil masa kira-kira sejam untuk melakukan semua pergerakan lengan yang diperlukan bagi mengumpulkan imej-imej tersebut, ‘tetapi ia berbaloi,’ kata Megan Wu,seorang saintis pengimejan dari Malin Space Science Systems, yang membina kamera tersebut.
“Kehadiran pusaran debu di latar belakang menjadikan gambar ini klasik,” kata Wu dalam satu kenyataan.
Gambar tersebut turut menunjukkan lubang penggerudian sampel terbaharu di permukaan Marikh, yang juga menandakan hari ke-1,500 sol atau hari Marikh bagi Perseverance, iaitu bersamaan dengan 1,541 hari di Bumi. – AP
