Oleh Fadhil Yunus
MANILA, 29 NOV – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah yang berkenan memimpin pasukan bola jaring kebangsaan Brunei Darussalam, mencatat kemenangan 53-44 menewaskan tuan rumah Filipina pada Sukan Asia Tenggara (SEA) di Kompleks Sukan Santa Rose di Filipina hari ini.
Perlawanan menyerlah semasa permulaan suku kedua apabila pasukan Brunei memperoleh sedikit kelebihan ketika mendahului 14-12 dan 26-25.
Pasukan Brunei yang dikenali sebagai Royal Bees, memperoleh semangat untuk memimpin perlawanan dengan sembilan mata pada suku ketiga, yang memberikan kemenangan berharga kepada pasukan.
Kemenangan dalam perlawanan akhir pusingan kelayakan memberikan ruang kepada pasukan untuk terus memberikan saingan ke peringkat kalah mati.
Pasukan Royal Bees bermain dengan berhati-hati menentang pemain bola jaring Filipina yang juga menginginkan kemenangan bagi membuka peluang untuk mara ke separuh akhir, seterusnya sekurang-kurangnya memungut pingat gangsa.
Brunei layak ke peringkat separuh akhir menyertai juara bertahan Malaysia, Singapura dan Thailand. Pasukan Royal Bees akan turun beraksi lagi pada Ahad ini.
