Saturday, May 10, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Royal Brunei Enduro 2018 berakhir

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Royal Brunei Enduro 2018 hari ini menutup tirainya dengan majlis penyampaian hadiah dan makan malam yang berlangsung di Dewan Riadah Pusat Belia di ibu negara.

    Christopher Gallagher dari United Kingdom telah dinobatkan sebagai pemenang utama bagi Royal Brunei Enduro 2018 dalam Kategori Elit, sekali gus berjaya membawa pulang bersama hadiah berupa tiket pergi dan balik ke Brunei Darussalam bagi Royal Brunei Enduro tahun hadapan selain menerima piala dan jersi.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya berkesudian menyampaikan hadiah kepada para pemenang malam tadi ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

    Juga hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Saiful Bahrin bin Haji Bahar. Turut sama hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

    Kejohanan yang disertai oleh lebih kurang 100 orang peserta tempatan dan antarabangsa seperi Korea, Nepal, Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun itu kali ini mempertandingkan enam kategori iaitu Kategori Elit, Kategori Aficianados (30 hingga 39 tahun), Kategori Karnage (40 hingga 49 tahun), Kategori Legends (50 tahun ke atas), Kategori Feminino (Wanita) dan Kategori Prodigy (15 hingga 17 tahun).

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika sesi bergambar ramai bersama para peserta.

    Penglibatan RB bersama KSSUP merupakan salah satu strategi RB untuk meningkatkan dan menawarkan lagi pelbagai tawaran menarik bagi para pelancong untuk berkunjung ke negara ini, yang mana acara seumpamanya itu juga merupakan peluang yang baik untuk menampilkan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan terbaik bagi para pelancong.

    Ia adalah merupakan kali kedua Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah bagi Asian Enduro Series Cycling Race yang berlangsung di Tasik Serubing dan Subok.

    Dalam Kategori Prodigy (15 hingga 17 tahun), kemenangan berpihak kepada Junho Kim dari Korea Selatan, manakala Dayang Liyana Zakaria dari Negara Brunei Darussalam berjaya memenangi dalam Kategori Feminino (Wanita).

    Sementara itu, dalam Kategori Legends (50 tahun ke atas) telah dimenangi oleh peserta dari Indonesia, Chandra Arsvijaya dan Pongpun Iingam dari Thailand pula berjaya memenangi dalam Kategori Karnage (40 hingga 49 tahun).

    Bagi Kategori Aficianados (30-39 tahun) pula telah dimenangi oleh peserta dari Malaysia, Tan Soon Soon.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda