LONDON, 16 DIS – Kerajaan Britain telah meluluskan pengambilalihan Royal Mail oleh jutawan dari Republik Chech, membolehkan perkhidmatan pos itu dimiliki pihak asing buat kali pertama, lapor PA Media/dpa.
Difahamkan, kebenaran penjualan International Distribution Services (IDS) kepada Kumpulan EP milik Daniel Kretinsky akan diumumkan secara rasmi pada pagi Isnin selepas semakan dilakukan di bawah Akta Keselamatan dan Pelaburan Negara.
Kretinsky dan IDS telah mencapai persetujuan pada Mei lepas, tetapi perlu mendapatkan kelulusan kerajaan memandangkan kepentingan nasional Royal Mail dan perkhidmatan pos di United Kingdom.
Antara janji yang telah dibuat oleh Kretinsky ketika pengumuman perjanjian itu termasuk mengekalkan jenama, ibu pejabat dan kedudukan residensi cukai Royal Mail di Britain untuk tempoh lima tahun serta komitmen mengekalkan tanggungjawab perkhidmatan universal syarikat itu.
Kretinsky yang digelar ‘Sphinx Republik Chech’ juga dipercayai membuat beberapa konsesi tambahan untuk mendapatkan kelulusan kerajaan, termasuk memberikan pekerja 10 peratus daripada sebarang dividen yang dibayar kepadanya.
Kerajaan juga dilaporkan akan mengekalkan ‘saham emas’ dalam perkhidmatan pos itu, yang bermakna sebarang perubahan penting kepada pemilikan, lokasi ibu pejabat dan kedudukan residensi cukai Royal Mail perlu mendapat kelulusan kerajaan.
Komitmen lain yang dibuat oleh Kretinsky termasuk jaminan untuk tidak menggunakan lebihan dana pencen dan menghormati permintaan kesatuan pekerja supaya tidak melaksanakan pemberhentian kerja secara paksa sehingga 2025.
Difahamkan, kesatuan pekerja terus mendesak untuk mendapatkan jaminan tambahan termasuk lanjutan komitmen berkenaan.
Pada Jumaat, Royal Mail didenda £10.5 juta oleh pengawal selia Ofcom kerana gagal memenuhi sasaran penghantaran pos bagi tahun kewangan 2023-2024. – Bernama