Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Royale Talam tawar 40 jenis kuih talam

    KUALA LANGAT – Hanya bermula di tepi jalan secara kecil-kecilan di Kampung Delek, Klang, perusahaan kuih talam yang diusahakan sejak lebih dua dekad, kini menginjak penuh bangga apabila perniagaan legasi keluarganya itu semakin mengukir kejayaan memberangsangkan.

    Sejak dijenamakan dengan nama Royale Talam pada 2015, Arradzi Baihaqi Adzhar, generasi ketiga pembuat kuih berkenaan yang meneruskan kesinambungan kuih tradisi itu bersama isterinya, Siti Hapizah Musa, tidak sekadar mempunyai pelanggan setia dalam kalangan pencinta kuih talam.

    Akan tetapi, sentuhan resipi asli kuih talamnya itu turut menjadi dambaan kalangan golongan korporat merangkumi beberapa hotel terkemuka, syarikat katering, Malaysia Airlines selain membekalkan secara tetap ke Istana Alam Shah dan Istana Bukit Kayangan di Selangor sejak 15 tahun lepas.

    Kini melangkah ke depan, pasangan suami isteri ini tidak sekadar berbangga dengan pencapaian itu. Namun, mempunyai misi besar dan jelas untuk menarik ataupun menyemai minat golongan muda menyukai kuih warisan nenek moyang ini mengikut trend terkini menerusi pembukaan kafe moden.

    Mengetengahkan lebih 40 jenis kuih talam, Arradzi Baihaqi berkata usaha itu bertujuan memberi pendedahan secara tidak langsung khususnya kepada golongan muda akan kepelbagaian dan keenakan kuih tradisional yang kini semakin dilupakan.

    Muhd Arradzi Baihaqi Azhar membuka perniagaan dengan memperkenalkan kuih tradisional melayu menerusi konsep kafe moden di Bandar Saujana Putra, Jenjarom. – Bernama
    Royale Talam memperkenalkan semula makanan warisan tradisional dan mengetengahkan lebih 40 jenis kuih talam. – Bernama

    “Sasaran kami adalah untuk menjadikan kuih talam sebagai pilihan utama masyarakat satu hari nanti dan bukan sekadar menu sampingan yang dihidang dalam jamuan atau kenduri.

    “Lebih sedih, ada antara golongan muda hari ini lebih cenderung kepada pencuci mulut moden bahkan ada yang hampir tidak tahu malah tidak kenal pun (kuih tradisional),” katanya ketika ditemui Bernama di premisnya di Bandar Saujana Putra, baru-baru ini.

    Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan daripada Universiti Tun Abdul Razak ini berkata inisiatif mengusahakan kafe moden itu adalah selepas menyedari tidak begitu banyak premis yang khusus menawarkan kuih talam sebagai produk utama kepada masyarakat umum berbanding menu Barat.

    Kerana itu, Arradzi Baihaqi bersama isterinya mengambil langkah mengkomersialkannya selain memastikan hanya penggunaan santan segar berkualiti yang menjadi keutamaan mereka bagi mengekalkan tekstur lembut dan rasa lemak manis kuih talam tersebut.

    “Kalau santan ada masalah, kuih pun akan jadi masalah sebab santan adalah ‘akar’ kepada kuih talam. Namun, yang menjadi cabaran terbesar kami adalah apabila keperluan santan tidak mencukupi sehingga boleh menjejaskan operasi pengeluaran,” katanya.

    Mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat antaranya pemeriksaan rupa, bau dan rasa sebelum dijual, beliau berkata Royale Talam memiliki sijil halal dan dijual pada harga berpatutan serendah RM3 bagi empat potong.

    Selain mengekalkan resipi asli kuih talamnya seperti seri muka pandan, seri muka durian, talam keladi, talam ubi kayu, Arradzi Baihaqi berkata mereka juga tidak ketinggalan untuk menyesuaikan resipi tradisional dengan cita rasa moden bagi menambah daya tarikan dan menambat minat generasi muda.

    Biarpun begitu, mereka akan memastikan inovasi itu tidak akan mengorbankan asas rasa asli kuih talam tradisi selain inovasi itu adalah bertujuan untuk mendapatkan tekstur kuih yang lebih anjal.

    “Contohnya, jika dulu tak ada kuih seperti talam kacang merah, lapis kacang hijau atau lapis Jalur Gemilang, sekarang kita cuba berikan variasi rasa seperti kacang merah, kacang hijau, sagu, kelapa dan gula merah. Itu antara elemen yang dimodenkan.

    “Kalau pelanggan mahukan kuih talam yang lain daripada biasa, kami akan cuba usahakannya. Selalunya, permintaan sebegini datang daripada generasi lama yang lebih arif mengenai kuih tradisional,” katanya yang mempunyai 30 kakitangan.

    Kesemua kuih berkenaan dihasilkan secara segar setiap hari dari dapur berpusat yang beroperasi 24 jam di Seksyen 7, Shah Alam sebelum dihantar ke tiga cawangan lain di Bandar Saujana Putra, Taman Medan dan Klang.

    Mengenai perancangan masa depan, anak sulung daripada empat beradik ini menyasarkan pembukaan cawangan baharu di negeri lain antaranya Kelantan dan Terengganu serta merancang memasuki pasaran Indonesia dalam tempoh lima tahun akan datang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda