BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Pasukan Polo Air Rejimen Pasukan Khas (RPK) muncul juara setelah menewaskan pasukan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) 2-1 di Kejohanan Renang dan Polo Air Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) 2017 di Kompleks Sukan, Pangkalan Tentera Udara Rimba petang tadi.
Manakala di final Kejohanan Renang yang dipertandingkan awal minggu ini, pasukan renang dari RPK muncul juara kejohanan dengan memperolehi sebanyak enam pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa. Pasukan renang dari TDDB pula mendapat tempat kedua dan pasukan renang dari Kementerian Pertahanan mendapat tempat ketiga.
Perlawanan akhir juga menyaksikan kejohanan renang 50 meter gaya bebas di mana tempat pertama dimenangi oleh Sarjan Haji Zulamin daripada TDDB diikuti di tempat kedua oleh CPO Haji Mohd Irwan daripada Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan tempat ketiga oleh Lkpl Mohd Yunus bin Haji Hamid daripada Kementerian Pertahanan.
Acara terakhir menyaksikan acara renang 4×50 meter gabungan khas bagi pegawai-pegawai dan pegawai tidak bertauliah kanan di mana TDDB muncul sebagai johan, diikuti dengan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) ditempat kedua dan RPK di tempat ketiga.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah selaku tetamu kehormat.
Kejohanan Renang dan Polo Air ABDB 2017 bermula pada 23 Januari lalu dan disertai oleh enam buah pasukan yang terdiri daripada Kementerian Pertahanan, TDDB, TLDB, TUDB, Institut Latihan ABDB (IL ABDB) dan RPK.