Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba dan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang dibina bersebelahan dengan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan dijangka siap pada 9 November depan.
Sehubungan itu, majlis mendirikan tiang masjid baharu yang akan mampu menampung lebih kurang 1,500 orang jemaah itu telah diadakan pagi tadi, yang dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku tetamu-tetamu kehormat.
Antara kemudahan yang disediakan di masjid itu termasuk dewan sembahyang utama lelaki, dewan sembahyang perempuan, bilik kuliah, bilik perpustakaan, bilik sistem PA, pejabat imam dan bilal, tandas dan tempat berwuduk lelaki dan perempuan, tandas orang berkeperluan khas (OBK) lelaki dan perempuan, bilik pengurusan jenazah, bilik stor, dapur dan tempat letak kereta orang awam serta tempat letak kereta OBK.
Bangunan masjid baharu berkenaan dibina dengan menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara yang berjumlah $3,577,473.40.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan laungan azan dan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas, Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji
Murat.
Kemudian, majlis diteruskan dengan acara menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan sebelum diikuti oleh para jemputan khas yang hadir. Kemudian, Doa Selamat dibacakan oleh Awang Zulkifli.
Di penghujung majlis, tetamu-tetamu kehormat serta para jemputan berkesempatan menyaksikan video pameran mengenai ciri-ciri reka bentuk bangunan masjid baharu berkenaan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, ahli-ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), setiausaha-setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pembangunan serta penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.