Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    RPPI negara Q2 2025 meningkat 1.5 peratus

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) Negara Brunei Darussalam bagi suku kedua (Q2) 2025.

    Indeks itu dihasilkan dengan data yang diperoleh dari bank-bank di Negara Brunei Darussalam dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan, khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

    BDCB dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menjelaskan RPPI mengukur kadar perubahan harga hartanah kediaman persendirian yang dibeli oleh isi rumah dari semasa ke semasa.

    Pada Q2 2025, RPPI menunjukkan peningkatan sebanyak 1.5 peratus tahun-ke-tahun kepada 96.5 berbanding dengan Q2 2024 dan peningkatan sebanyak 9.9 peratus berbanding Q1 2025.

    Berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperoleh dari bank-bank, sebanyak 146 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah dicatat pada Q2 2025.

    Gambar Freepik

    Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 41.7 peratus dalam bilangan transaksi berbanding dengan Q1 2025 dan peningkatan sebanyak 18.7 peratus berbanding dengan satu tahun yang lalu.

    Pada Q2 2025, sebahagian besar daripada transaksi tersebut adalah bagi pembelian rumah berasingan (60.3 peratus), diikuti oleh rumah berkembar (18.5 peratus), rumah teres (12.3 peratus), pangsapuri (8.2 peratus) dan tanah (0.7 peratus).

    Harga penengah (median) bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada Q2 2025 adalah $254,500.

    Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15.7 peratus berbanding dengan Q1 2025 dan peningkatan sebanyak 1.8 peratus berbanding Q2 2024.

    Harga penengah bagi pembelian rumah berasingan adalah $276,500, $209,000 bagi rumah berkembar, $235,000 bagi rumah teres, $203,000 bagi pangsapuri dan $110,000 bagi tanah.

    Pengiraan RPPI menggunakan harga penengah dan bukan harga purata kerana harga penengah tidak mudah terjejas oleh harga hartanah yang luar biasa dalam suatu tempoh masa.

    Dari segi lokasi, kebanyakan pembelian hartanah persendirian pada Q2 2025 terletak di Daerah Brunei dan Muara (121 hartanah), diikuti oleh Daerah Tutong (14 hartanah) dan Daerah Belait (11 hartanah). Tiada pembelian hartanah dicatatkan bagi Daerah Temburong.

    Lima buah mukim yang merekodkan jumlah transaksi yang tertinggi bagi Q2 2025 adalah Mukim Sengkurong, Mukim Kilanas, Mukim Gadong, Mukim Berakas B dan Mukim Lumapas.

    Indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung kepada indeks dan statistik tersebut untuk menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman persendirian adalah berbeza tertakluk kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.

    Untuk maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini boleh didapati di laman web BDCB www.bdcb.gov.bn. Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda