Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) Negara Brunei Darussalam bagi suku keempat (Q4) 2023.
Indeks ini dihasilkan dengan data yang diperolehi dari bank-bank di negara ini dan diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BDCB hari ini, RPPI mengukur kadar perubahan harga hartanah kediaman persendirian yang dibeli oleh isi rumah dari semasa ke semasa.
Pada Q4 2023, RPPI adalah pada tahap 91.8 iaitu penurunan sebanyak 6.6 peratus tahun ke tahun berbanding dengan Q4 2022, dan penurunan sebanyak 6.1 peratus suku tahun ke tahun berbanding dengan Q3 2023.
Sebanyak 137 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah dicatatkan pada Q4 2023, berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperolehi dari bank-bank.

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus dalam jumlah transaksi berbanding dengan Q3 2023 dan peningkatan sebanyak 1.5 peratus berbanding dengan satu tahun yang lalu.
Manakala Q4 2023 sebahagian besar daripada transaksi tersebut adalah bagi pembelian rumah berasingan iaitu 62.8 peratus dan ini diikuti rumah teres sebanyak 20.4 peratus; rumah berkembar sebanyak 14.6 peratus; pengsapuri sebanyak 2.2 peratus; dan tiada pembelian tanah melalui pembiayaan bank telah dicatat pada Q4 2023.
Harga penengah bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada Q4 2023 adalah $258,000 dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.8 peratus berbanding Q3 2023 dan juga setahun lalu.
Harga penengah bagi pembelian rumah berasingan adalah $272,000; $275,500 bagi rumah bekembar; $202,500 bagi rumah teres; dan $210,000 bagi pangsapuri.
Pengiraan RPPI adalah menggunakan harga penengah dan bukan harga purata kerana harga penengah tidak mudah terjejas oleh harga hartanah yang luar biasa dalam satu tempoh masa.
Manakala dari segi lokasi pula, kebanyakan pembelian hartanah persendirian pada Q4 2023 terletak di Daerah Brunei Muara iaitu sebanyak 111 hartanah, diikuti Daerah Tutong sebanyak 14 hartanah, kemudian Daerah Belait 12 hartanah.
Lima buah mukim yang merekodkan jumlah transaksi tertinggi bagi Q4 2023 adalah Mukim Sengkurong, Mukim Mentiri, Mukim Kilanas, Mukim Gadong dan Mukim Berakas B.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung kepada indeks dan statistik tersebut untuk menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman persendirian adalah berbeza tertakluk kepada antara lain lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.
Bagi maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini boleh didapati di lama web BDCB www.bdcb.gov.bn dan maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.

