Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) pada suku pertama (Q1) 2023 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 9.27 peratus tahun-ketahun kepada 96.5 berbanding dengan Q1 2022, tetapi penurunan sebanyak 1.83 peratus berbanding dengan suku keempat (Q4) 2022.
Berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperolehi daripada bank-bank, sebanyak 122 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah dicatatkan pada Q1 2023.
Ia menunjukkan penurunan sebanyak 9.63 peratus dalam bilangan transaksi berbanding dengan Q4 2022 dan penurunan sebanyak 1.61 peratus berbanding dengan satu tahun yang lalu.
Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah mengongsikan terbitan RPPI Negara Brunei Darussalam bagi Q1 2023 itu hari ini.
BDCB menyatakan bahawa indeks tersebut dihasilkan dengan data yang diperolehi daripada bank-bank di Negara Brunei Darussalam, dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan, khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).
RPPI mengukur kadar perubahan harga hartanah kediaman persendirian yang dibeli oleh isi rumah dari semasa ke semasa.
Pada Q1 2023, sebahagian besar daripada transaksi tersebut adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached (63.1 peratus); diikuti oleh rumah teres (21.3 peratus); rumah berkembar atau semi-detached (10.6 peratus); pangsapuri (2.5 peratus); dan tanah (2.5 peratus).
Harga penengah (median) bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada Q1 2023 adalah $251,000. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus berbanding dengan Q1 2022, dan menunjukkan penurunan sebanyak 3.5 peratus.


