Monday, July 1, 2024
22.3 C
Brunei

    -

    RPPI Q1 tunjuk penurunan berbanding tahun lepas

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) pada suku pertama (Q1) 2024 telah menunjukkan penurunan sebanyak 4.4 peratus tahun-ke-tahun kepada 92.3 berbanding dengan Q1 2023, dan peningkatan sebanyak 0.5 peratus berbanding dengan Q4 2023.

    Berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperolehi daripada bank-bank, sebanyak 81 transaksi pembelian telah dicatat pada Q1 2024.

    Ia menunjukkan penurunan sebanyak 33.6 peratus dalam bilangan transaksi berbanding dengan tahun sebelumnya dan juga penurunan sebanyak 40.9 peratus berbanding dengan Q4 2023.

    Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah mengongsikan terbitan RPPI Negara Brunei Darussalam bagi Q1 2024 itu hari ini.

    BDCB menyatakan bahawa indeks tersebut dihasilkan dengan data yang diperolehi daripada bank-bank di Negara Brunei Darussalam, dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan, khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

    RPPI mengukur kadar perubahan harga hartanah kediaman persendirian yang dibeli oleh isi rumah dari masa ke semasa.

    Pada Q1 2024, sebahagian besar daripada transaksi tersebut adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached (55.5 peratus); diikuti oleh rumah teres (24.7 peratus); rumah berkembar atau semi-detached (17.3 peratus); dan pangsapuri (2.5 peratus). Tiada pembelian tanah melalui pembiayaan bank telah dicatat pada Q1 2024.

    Harga tengah (median) bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada Q1 2024 adalah $247,000. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 1.6 peratus berbanding dengan Q1 2023, dan penurunan sebanyak 4.3 peratus berbanding dengan Q4 2023.

    Harga tengah bagi pembelian rumah berasingan atau detached adalah $278,000; bagi rumah berkembar atau semi-detached adalah $246,000; bagi rumah teres adalah $220,000; dan bagi pangsapuri adalah $235,000.

    Pengiraan RPPI adalah menggunakan harga tengah dan bukan harga purata kerana harga tengah tidak mudah terjejas oleh harga hartanah yang luar biasa dalam suatu tempoh masa.

    Dari segi lokasi, kebanyakan pembelian hartanah persendirian pada Q1 2024 adalah yang terletak di Daerah Brunei dan Muara (66 hartanah), diikuti oleh Daerah Tutong (sembilan hartanah), dan Daerah Belait (enam hartanah).

    Sehubungan itu, lima buah Mukim yang merekodkan jumlah transaksi yang tertinggi bagi Q1 2024 adalah Mukim Sengkurong, Mukim Kilanas, Mukim Gadong, Mukim Lumapas, and Mukim Mentiri.

    – Gambar serahan BDCB
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...