Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    RPPI Q3 2023 meningkat

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) pada suku ketiga (Q3) 2023, menunjukkan peningkatan sebanyak 6.7 peratus tahun-ke-tahun kepada 97.8 berbanding Q3 2022 dan juga peningkatan sebanyak 5.6 peratus berbanding suku kedua (Q2) 2023.

    RPPI Negara Brunei Darussalam bagi Q3 2023 telah diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), menurut siaran akhbar yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, hari ini.

    Indeks tersebut dihasilkan dengan data yang diperoleh dari bank-bank di negara ini dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) di mana ia mengukur kadar perubahan harga hartanah kediaman persendirian yang dibeli oleh isi rumah dari semasa ke
    semasa.

    Berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperoleh dari bank-bank, sebanyak 100 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah dicatatkan pada Q3 2023.

    Ia menunjukkan penurunan sebanyak 25.9 peratus berbanding 2022 dan penurunan sebanyak 22.5 peratus berbanding Q2 2023.

    Gambar Unsplash

    Pada Q3 2023, sebahagian besar daripada transaksi berkenaan adalah bagi pembelian rumah berasingan iaitu 59 peratus, diikuti oleh rumah berkembar iaitu 20 peratus, rumah teres iaitu 18 peratus dan pangsapuri iaitu 3 peratus.

    Tidak ada pembelian tanah melalui pembiayaan bank dicatatkan pada Q3 2023.

    Harga penengah atau median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada Q3 2023 adalah $260,000 di mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 2 peratus berbanding Q3 2022 dan peningkatan sebanyak 3.2 peratus berbanding Q2 2023.

    Harga penengah atau median bagi pembelian rumah berasingan adalah $288,000, bagi rumah teres adalah $213,000, bagi rumah berkembar adalah $267,500 serta bagi pangsapuri adalah $215,000.

    Pengiraan RPPI menggunakan harga penengah atau median dan bukan harga purata kerana harga penengah tidak mudah terjejas oleh harga hartanah yang luar biasa dalam satu tempoh masa.

    Dari segi lokasi pula, kebanyakan pembelian hartanah persendirian pada Q3 2023 adalah yang terletak di Daerah Brunei dan Muara iaitu 75 hartanah, diikuti oleh Daerah Tutong iaitu 16 hartanah serta Daerah Belait iaitu sembilan hartanah.

    Sehubungan itu, lima buah mukim yang merekodkan jumlah transaksi yang tertinggi bagi Q3 2023 adalah Mukim Sengkurong, Pekan Tutong, Mukim Mentiri, Mukim Gadong serta Mukim Lumapas.

    Indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung pada indeks dan statistik berkenaan bagi menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman persendirian adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.

    Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini, ia boleh didapatkan di laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn.

    Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram BDCB, @centralbank.brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda