Oleh Sim Y. H. –
TUTONG, 16 JUN – Seramai 166 penuntut Tahun 9 dan 10 Mahad Islam Brunei menghadiri Program Rakan Remaja Penerangan (RRP) yang berlangsung di Dewan Besar, Mahad Islam Brunei, Tutong, baru-baru ini.
Program yang diadakan oleh Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dengan kerjasama Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah dan Mahad Islam Brunei, Tutong bertujuan untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya mereka peka dengan perkembangan semasa.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Penolong Pengarah Institusi Pengajian, Jabatan Pengajian Islam, Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin.
Turut hadir ialah Pengetua, Dayang Sarimah binti Ahmad, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Penerangan, guru-guru kanan sekolah serta tenaga-tenaga pengajar.
Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan dan lagu patriotik, Bendera Negara dan diberkati dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.




Dalam ucapannya, Dayang Sarimah antara lain menyatakan penyertaan dalam program berkenaan, merupakan satu peluang yang bermanfaat, khususnya dalam usaha memperkukuh nilai-nilai dan semangat cintakan tanah air dalam kalangan para pelajar.
Taklimat bertajuk Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Awang Mohammad Azyzul Azman @ Rosman bin Yakub.
Kandungan taklimat yang antara lain menyentuh mengenai raja, sejarah dan tatacara menaik kibarkan bendera negara serta sejarah lagu kebangsaan negara. Video animasi Tatacara Mengibarkan Bendera terbitan Jabatan Penerangan turut ditayangkan bagi meningkatkan lagi kefahaman penuntut mengenai taklimat yang disampaikan.
Program RRP turut diserikan dengan persembahan seperti nyanyian, syair, pidato, lakonan, persembahan sketsa serta lawak jenaka yang dipersembahkan oleh para penuntut Mahad Islam Brunei dan artis-artis undangan.
Persembahan sketsa bertajuk Suara yang Dibisukan oleh para penuntut mengetengahkan mengenai peranan semua pihak termasuk ibu bapa dalam membendung kegiatan buli.
Manakala sketsa bertajuk Di sebalik Tirai oleh Kumpulan Pento Z pula membawa mesej mengenai tanggungjawab sosial seperti menyuarakan dan melaporkan kes-kes buli di sekolah supaya ia tidak berpanjangan dan mengganggu kesihatan mental serta menjaga batas pergaulan dalam kalangan penuntut.
Persembahan lawak jenaka daripada Kumpulan CAPDI turut memeriahkan suasana dengan mesej-mesej kesedaran antaranya mengenai pengurusan masa sebagai seorang penuntut dan isu-isu sosial serta trend terkini dalam kalangan remaja.
Kuiz kenegaraan turut diadakan bagi menguji kefahaman penuntut yang hadir tentang taklimat yang disampaikan di awal program.
Penyampaian cenderamata kepada pemenang kuiz disampaikan oleh tetamu kehormat.

