Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Sebagai sebuah persatuan yang bertanggungjawab membantu dan menyantuni Rakan Seliaan (RS) supaya terus cekal dan berdaya saing dalam mengharungi cabaran dan liku-liku kehidupan yang penuh dengan rintangan, Aftercare Support Association (AFSA) telah bekerjasama dengan Syarikat Atika Arif Tours Sdn Bhd dan orang perseorangan bagi sama-sama menghulurkan bantuan keperluan asasi kepada RS semasa majlis berbuka puasa untuk hampir 30 orang RS di Hotel Afiah, Kiulap, kelmarin.
Hadir pada majlis untuk menyempurnakan penyampaian barang-barang keperluan asasi kepada RS ialah Penasihat AFSA, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir, Yang Dipertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Muhd Jaya; Timbalan Yang Dipertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri; Pengurus Syarikat Atika Arif Tours Sdn Bhd, Mohamed Arif bin Mohamed Jawahar, rakan kongsi Atika Arif Tours Sdn Bhd, jawatankuasa AFSA dan RS.
Majlis itu bermatlamat untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan RS dan AFSA, menzahir dan memberikan rasa kegembiraan kepada RS kerana terus dipeduli, dikelinga dan dihargai selain program tahunan khusus untuk menghargai RS dalam bulan suci Ramadan ini.
