KUALA LUMPUR, 16 JUN – Wanita hamil digalakkan berbincang dengan doktor masing-masing bagi menerima imunisasi yang berfungsi melindungi mereka daripada jangkitan Virus Respiratori Sinsitial (RSV), sejenis virus pernafasan yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini membimbangkan banyak isi rumah.
Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Intensif Pediatrik, Dr Gan Chin Seng berkata RSV yang sering disalah anggap sebagai selesema bermusim sebenarnya merupakan antara punca utama penyakit pernafasan serius, kemasukan ke hospital serta kematian dalam kalangan anak damit berusia bawah enam bulan dan warga emas berumur 60 tahun ke atas.
“Setiap tahun, secara global, RSV menyebabkan lebih 33 juta jangkitan saluran pernafasan dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Daripada jumlah itu, 3.6 juta kes memerlukan rawatan di hospital, manakala hampir 100,000 kematian direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata walaupun beban jangkitan RSV adalah besar di peringkat global, ia sering kali tidak diberi perhatian sewajarnya, malah ramai ibu bapa dan penjaga tidak pernah mendengar tentang virus ini sehinggalah orang tersayang mereka dimasukkan ke hospital.
“Kami pernah melihat anak damit yang sihat sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hanya dalam beberapa hari disebabkan RSV. Antara perkara paling sukar pernah saya alami adalah melihat seorang anak damit bertarung untuk bernafas manakala ibu bapanya hanya mampu melihat tanpa dapat berbuat apa-apa.
“Ia amat menyayat hati, dan situasi seperti ini telah saya saksikan berkali-kali,” katanya sambil menambah bahawa di Malaysia, jangkitan RSV berlaku sepanjang tahun namun kebiasaannya memuncak pada musim monsun antara Ogos hingga Januari.
Selain itu, Dr Gan berkata walaupun RSV sering dikaitkan dengan kanak-kanak, kesannya terhadap golongan warga emas juga amat membimbangkan khususnya mereka yang menghidap diabetes, penyakit jantung atau paru-paru kronik. – Bernama
