Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Filem Catatan Misteri Mini Series Kedua telah dilancarkan dengan pratonton di The Mall Cineplex, The Mall, Gadong, malam tadi.
Hadir selaku tetamu-tetamu khas ialah Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Haji Azman bin Haji Abdul Rahim, bersama perwakilan dari Pihak Berkuasa Industri Teknologi dan Info-Komunikasi (AITI).
Filem yang mempunyai empat episod itu, Episod 1 Telekung Arwah Aida, Episod 2 Bandul Ke-3, Episod 3 Basement dan Episod 4 Final Prank, adalah terbitan syarikat penerbitan Hadiyul Studio Production.
Pengarah filem dari Hadiyul Studio Production, Awang Hanidi bin Haji Mahmud dalam ucapan alu-aluan pada majlis itu mengimbas kembali bermulanya drama Catatan Misteri berepisod yang ditayangkan pada 2000 di RTB dan telah dinanti-nantikan peminat.
Setelah lebih 20 tahun menjadi tanda tanya para penonton dan peminat, Catatan Misteri Mini Series telah diterbitkan kembali dalam tiga episod sebagai hiburan penonton agar duduk taranah di rumah ketika COVID melanda negara dan dapat ditonton menerusi platform media sosial YouTube.
Menurut Awang Hanidi, inti penerbitan sesebuah filem itu adalah cerita, iaitu untuk menyampaikan sebuah cerita ke hadapan para penonton.
Namun ia tidak cukup dengan sekadar menyampaikan cerita sahaja, tetapi haruslah disertakan dengan hiburan agar lebih menarik minat para penonton untuk tetap terus menonton.
Walau bagaimanapun, tambahnya, masih juga belum lengkap jika ianya hanya sekadar cerita yang menghiburkan.
Maka dari itu, ia harus diisi dengan pesanan dan pengajaran yang baik dan sangat berkesan agar para penonton mendapat ilmu dan manfaat setelah menonton sesebuah filem tersebut.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, para jemputan khas, para penaja serta para artis tempatan dan penggiat-penggiat seni tanah air yang turut mendukung dan menjayakan filem tersebut.
Catatan Misteri Mini Series Kedua itu adalah atas inisiatif daripada AITI dan atas sokongan daripada RTB GO.
Ia boleh diikuti dan ditonton menerusi Aplikasi RTB GO pada Mac dan April depan.