Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti yang lebih fokus dan kos efektif, Radio Televisyen Brunei (RTB) telah melancarkan Penjenamaan Baharu Saluran-Saluran Televisyen Brunei pada majlis yang berlangsung di Kompleks Penyiaran RTB, Sungai Akar, hari ini.
Pelancaran penjenamaan tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di JPM, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.
Pengarah RTB, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu dalam ucapannya menjelaskan bahawa dalam merealisasikan penjenamaan berkenaan, tiga pendekatan utama diambil iaitu penggabungan saluran televisyen yang hampir sama, memberikan jenama yang bersesuaian berdasarkan identiti dan konsep perisian serta mengoptimumkan waktu-waktu siaran.
Menurutnya, langkah berkenaan menggabungkan saluran RTB 1 dengan RTB 5 yang dikenali RTB Perdana menggunakan slogan ‘Menjana Inspirasi’ dengan sasaran 80 peratus perisian tempatan.
Manakala itu, saluran RTB 2 digabungkan dengan saluran RTB 3 HD dan dikenali sebagai RTB Aneka dengan slogan ‘Variasi Pilihan’ dan sasaran perisian tempatan sebanyak 60 peratus.
Sementara itu, saluran RTB 4 International kini dinamakan sebagai RTB Sukmaindera dengan slogan The Colours of Brunei Darussalam dengan sasaran 100 peratus perisian tempatan.
Menurut Haji Muhammad Suffian, bermula 1 Mac 2017 saluran RTB4 International yang sekarang dikenali sebagai RTB Sukmaindera hanya dapat diikuti secara langsung menerusi
Internat di laman sesawang www.rtb.gov.bn dan melalui saluran digital terestrial tempatan.
Katanya, jabatan melalui Bahagian Kejuruteraan akan turut meneroka untuk menggunakan teknologi cloud-based broadcasting bagi menjangkau lebih ramai tontonan dan capaian (reach) bagi saluran RTB Sukmaindera sejajar dengan kepesatan teknologi penyiaran serta delivery system yang terkini.
“RTB telah merangka untuk menaik taraf sistem Play-out Centre kepada sistem High Definition menjelang akhir tahun ini ke arah memenuhi peralihan ke siaran digital sepenuhnya dan penutupan siaran analog penghujung tahun ini,” jelasnya.
Selain itu, mereka juga akan memperkenalkan persembahan baru iaitu Eksposisi Brunei dalam slot masa bukan puncak (non-peak time) ke arah mengoptimumkan masa siaran dengan perisian tempatan.
“Ini akan menggalakkan warga RTB untuk lebih produktif, inovatif dan bersemangat mereka cipta perisian-perisian tempatan yang lebih menarik,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, saluran-saluran baru berkenaan akan mengguna pakai konsep content is king yang menyasarkan perisian dan maklumat yang tepat mengenai Negara Brunei Darussalam kepada masyarakat umum dan masyarakat dunia.
Selain itu perisian yang dapat menggambarkan the good government dengan falsafah Melayu Islam Beraja yang prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara di bawah kepimpinan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, ia juga sebagai jendela pengenalan warna-warni kehidupan orang-orang Brunei yang penuh dengan amalan beragama, gambaran budaya, nilai, tradisi dan adat resam yang unik dan menarik dengan alam sekitar dan kehijauan yang menyegarkan.
“Penjenamaan semula ini adalah satu perjalanan pembaikan yang berterusan dan bukannya terhenti setakat di sini saja”, tegasnya sambil menambah ia akan sentiasa dinilai semula, diperbaiki dan diberi nilai tambah yang berterusan sesuai dengan perkembangan dan kemajuan semasa.
Dalam ucapannya itu, Haji Muhammad Suffian turut mengongsikan bahawa daripada hasil penyelidikan dan kajian audiens yang dilaksanakan pada 7 November hingga 20 Disember 2016 lalu, sebanyak 78 peratus rakyat negara ini menonton siaran RTB berbanding dengan pada tahun 2015 yang hanya mencatat 58 peratus.
“Sebahagian besar responden menyatakan mereka menonton dua saluran RTB saja berbanding lima saluran yang disediakan dan ini turut menjadi indicator (penunjuk) bagi RTB untuk memfokus kepada inovasi jumlah saluran, kualiti perisian, perkhidmatan dan pengalaman yang bermanfaat dan berguna ke arah membentuk masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan,” ujarnya.
Di majlis itu, Dato Paduka Haji Hamdan dan tetamu yang lain turut mengadakan lawatan ke Playout Centre (POC) di kompleks berkenaan sejurus acara perasmian penjenamaan baharu tersebut.