Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    RTB siarkan lebih 80 rancangan menarik sempena Aidilfitri

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Radio Televisyen Brunei (RTB) akan menyiarkan lebih 80 rancangan menarik melalui semua saluran televisyen dan rangkaian radionya bermula malam Hari Raya.

    Sehubungan itu, sidang media mengenainya diadakan di Bilik VIP, Bangunan Utama, Kompleks Penyiaran RTB Sungai Akar hari ini.

    Hadir semasa sidang media itu ialah Ketua Bahagian Rancangan Radio, Koh Thian Chan; Pemangku Ketua Bahagian Rancangan TV, Dayang Aminah binti Metali; Ketua Seksyen Perancangan dan Siaran TV, Hajah Hasiah binti Ali dan Penolong Ketua Bahagian Rancangan Radio, Dayang Salmi binti Haji Ibrahim.

    Pada sidang itu, Dayang Aminah menerangkan mengenai rancangan menarik yang disusun sempena Aidilfitri dari Unit Majalah, Dakwah, Drama, Kanak-kanak, Hiburan dan Realiti TV berunsur hiburan kemasyarakatan dengan mesej-mesej mengutamakan nilai keagamaan, adat dan budaya ketika Aidilfitri.

    Beliau menambah, rancangan-rancangan yang disiarkan menampilkan penyanyi, pelakon dan penyanyi kanak-kanak kelainan upaya yang berbakat besar.

    Sidang media mengenai rancangan TV dan radio RTB sempena Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Kompleks Penyiaran RTB Sungkai Akar, kelmarin.

    Selain rancangan hiburan, drama dan sebagainya, pertandingan-pertandingan nyanyian juga akan ditampilkan di saluran-saluran RTB Aneka dan Sukmaindera pada Hari Raya kelak.

    Sementara itu, Koh Tian Chan semasa mengulas mengenai rancangan yang akan menyerikan pendengar pada Lebaran kelak, kelima-lima rangkaian radio akan turut menyiarkan rancangan-rancangan menarik di samping program-program interaktif secara langsung.

    Menurutnya, Radio Brunei juga akan menyediakan rancangan-rancangan dari negara jiran di bawah memorandum persefahaman (MoU) bersama RTM, Malaysia dan Mediacorp, Singapura.

    Dalam pada itu, Dayang Salmi ketika menerangkan lebih lanjut rancangan radio yang akan ditampilkan, turut menyeru para pendengar mengambil peluang menghantar ucapan Aidilfitri melalui aplikasi WhatsApp di talian-talian yang diperkenalkan atau melalui media sosial kelima-lima rangkaian Radio Brunei.

    Menurutnya, rancangan-rancangan yang disiarkan akan ke udara bermula malam raya dengan beberapa program baharu turut diperkenalkan, selain pelbagai bentuk kuiz dengan hadiah-hadiah menarik boleh diikuti pendengar sepanjang musim perayaan.

    Radio Brunei juga akan menyediakan rancangan di bawah MoU bersama negara jiran dan lagu-lagu antarabangsa yang dinyanyikan oleh penyanyi pelbagai kenegaraan yang bermaustautin di negara ini, tambahnya.

    Sementara itu, Hajah Hasiah turut menjelaskan selain rancangan terbitan tempatan, Televisyen Brunei juga akan menyajikan filem dan telemovie dari luar negara.

    “Bagi yang tidak berkesempatan menonton rancangan-rancangan terbitan tempatan di RTB Perdana dan RTB Aneka akan dapat menyaksikan secara online iaitu melalui RTB Sukmaindera di samping memaparkan elemen-elemen hiburan, ia juga menonjolkan atau mempunyai mesej dengan pengisian nilai-nilai murni dan keagamaan; adat serta budaya masyarakat kitani,” tambahnya.

    Sementara itu bagi orang ramai yang ingin mendapatkan susunan rancangan program di RTB bolehlah melayari laman sesawang RTB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda