Oleh Sim Y. H
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Rombongan pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Serangoon (SSS), Singapura berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat peranan utama Radio Televisyen Brunei (RTB) menerusi lawatan ke RTB di Kompleks Penyiaran RTB Sungai Akar, kelmarin.
Lawatan oleh rombongan seramai 30 pelajar dan 6 guru berkenaan dihasratkan untuk memberi pendedahan mengenai sejarah penubuhan RTB serta teknologi penyiaran selain memberi kefahaman mengenai peranan utama RTB sebagai media rasmi di Negara Brunei Darussalam.
Di samping itu, para pelajar berkenaan juga berpeluang mengetahui bagaimana RTB mempromosikan kemajuan dan pembangunan di Negara Brunei Darussalam, mengenai warisan budaya serta tradisi negara melalui platform media.
Program lawatan rombongan berkenaan dimulai dengan sesi taklimat mengenai sejarah dan peranan dan diikuti dengan tinjauan ke studio dan galeri Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa serta lawatan ke studio-studio di Bahagian Rancangan Radio.
Pengalaman dalam lawatan berkenaan diharap dapat memberikan kefahaman kepada pelajar mengenai aplikasi teknologi terkini dalam bidang multimedia dan penyiaran. Selain itu, secara langsung lawatan itu memperkukuh pendapat para pelajar dan guru-guru SSS bahawa RTB mampu beradaptasi dengan landskap media yang berkembang dan akan kekal sebagai sumber maklumat, pendidikan dan hiburan yang relevan dan dipercayai.
Semua di atas: Antara aktiviti semasa lawatan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN RTB