Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘RTK-Antigen, RT-PCR mampu kesan varian Omicron’

    SHAH ALAM, 29 NOV – Ujian pengesanan COVID-19, menggunakan RTK-Antigen dan RT-PCR adalah berkesan untuk mengesan varian Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata perkara itu dimaklumkan pakar daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) namun kajian masih lagi dilakukan bagi mengetahui lebih mendalam berkenaan varian tersebut. 

    “Ujian RT-PCR sepatutnya ok, tapi dari segi keberkesanan RTK-Antigen kami masih mengkajinya tetapi setakat ini ia masih dapat mengesan varian Omicron ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Petugas COVID-19 Institut Kesihatan Negara di sini hari ini.

    Katanya kajian lanjut mengenai varian itu bukan hanya mengenai ujian pengesanan tetapi juga soal keberkesanan vaksin.

    “Kami akan dapat laporan daripada pengeluar vaksin yang sedang melaksana kajian dengan pantas sama ada vaksin mereka berkesan terhadap varian tersebut,” katanya sambil menambah laporan itu dijangka diperoleh dalam seminggu ke dua minggu lagi.

    “Soal ketiga kami kena lihat adalah keganasan Omicron ini dan kami dapat laporan awal di Afrika Selatan yang merupakan negara yang vaksinasi mereka rendah tetapi Omicron ini hanya telah menyebabkan gejala yang sederhana. Ada beberapa berita baik, tetapi sekali lagi kami tidak tahu dan kami perlu tunggu dan lihat,” katanya.

    Pada masa sama, Khairy berkata terlalu awal untuk menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan semula susulan kemunculan Omicron. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda