Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Sekumpulan usahawan dari Negara Brunei Darussalam dan Malaysia termasuklah selebriti antarabangsa Wu Chun, Nicky Wong daripada kumpulan syarikat-syarikat Globalzone dan syarikat media Sin Chew Media Corporation, kini memperkenalkan ruang kerja CO3 (Connectiviy, Collaboration & Community) Social Office ke negara ini.
Perkara ini telah diumumkan dalam sidang media, baru-baru ini, di Hotel Centrepoint, Gadong yang telah dipengerusikan oleh Pengasas Bersama dan Pengerusi CO3, Dr. Wong Jeh Shyan; Pengasas Bersama dan Pengarah, Nicky Wong dan Goh Kita Chun (Wu Chun) dan Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yong Chen Hui.
CO3 Social Office berkenaan menawarkan platform unik di mana individu dalam organisasi yang sama atau syarikat-syarikat berbeza yang menggunakan ruang itu boleh bekerjasama dan berkongsi idea secara bebas.
Di samping itu, ia juga memberikan peluang dan tempat yang sesuai bagi para graduan baru yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan. CO3 akan membentuk rangkaian komuniti generasi baru Brunei yang besar.

Menurut Yong Chen Hui, CO3 Social Office akan beroperasi di 40 lokasi di seluruh 20 bandar ASEAN termasuk Bandar Seri Begawan, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Penang, Kuching, Kota Kinabalu, Singapura, Jakarata, Surabaya, Bandung, Medan, Bali, Phuket, Bangkok Chiang Hai, Ho Chi Minh City, Hanoi, Manila, Phnom Penh dan Yangon.
Secara keseluruhan, CO3 Social Office akan dapat menghubungkan lebih daripada 20,000 orang ahli daripada perniagaan,organisasi, usahawan atau freelancers.