Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Usaha untuk meningkatkan persekitaran pembelajaran yang inklusif bagi kanak-kanak autistik di Negara Brunei Darussalam mencatatkan satu mercu tanda signifikan dengan perasmian Ruang Sensori Program CAKNA yang dinaiktaraf di Sekolah Rendah Dato Marsal, hari ini.
Perasmian ruang sensori berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Khas, Dr Mustazah binti Awang Maidin. Turut hadir adalah Guru Besar Sekolah Rendah Dato Marsal, Dayangku Suzanawaty binti Pengiran Osman, ahli-ahli kumpulan SPACEmakers, pegawai dan wakil dari Kementerian Pendidikan, penaja-penaja korporat, guru-guru sekolah berkenaan serta para jemputan khas.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada projek #SPACEforAustism, satu usaha jangkauan masyarakat yang diterajui oleh para peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan ke-36 (EDPPMO-36).
Projek itu bermatlamat untuk menyediakan ruang sensori yang tenang, selamat dan inklusif di sekolah-sekolah kerajaan yang terpilih sambil mempromosikan kesedaran awam mengenai austisme dan keperluan sensori.
Dalam kata alu-aluannya, Dayangku Suzanawaty merakamkan penghargaan kerana Sekolah Rendah Dato Marsal telah terpilih bagi projek berkenaan. Beliau menambah bahawa bilik darjah yang dinaiktaraf berkenaan, bukan sahaja memberi manfaat kepada murid-murid berkeperluan khas tetapi juga meningkatkan motivasi guru-guru Special Education Needs (SEN), yang juga kini dilengkapi dengan lebih baik pelbagai peralatan batuan mengajar dan sensori sekali gus menjana persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif serta lebih mudah bagi guru dan murid untuk berinteraksi secara efektif.

Sementara itu, Ketua Pasukan SPACEmakers, Rohaya Arun dalam ucapannya menjelaskan projek mereka, #SPACEforAutism bertujuan untuk menyediakan ruang sensori yang tenang, selamat dan inklusif di sekolah-sekolah kerajaan yang terpilih, dilengkapi dengan peralatan sensori untuk membantu kanak-kanak autisme bagi mengawal diri mereka terutama ketika mereka menghadapi detik-detik rangsangan berlebihan (overstimulation).
“Selain itu, projek ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan ruang sensori dan mengurangkan stigma di kalangan masyarakat mengenai autisme.”

Beliau juga menyatakan bahawa kumpulannya telah melaksanakan beberapa aktiviti untuk mengumpul dana bagi penambahbaikan ruang sensori di sekolah-sekolah terpilih iaitu Sekolah Rendah Dato Marsal dan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakillah Hayatul Bolkiah.
Setakat ini, jelasnya, mereka telah menerima lebih dari 250 barang sensori yang mereka agihkan kepada empat buah sekolah rendah dan agama.
“Ini membuktikan bahawa, dengan adanya belas kasihan dan apabila masyarakat bersatu hati untuk mencapai sesuatu tujuan, ia mampu memberikan impak yang signifikan.”
Beliau turut mengongsi bahawa inisiatif untuk menambahbaik ruang sensori di sekolah-sekolah tidak akan terhenti di sini, dengan kumpulan mereka komited untuk mendaftar sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) supaya mereka dapat terus menyumbang kepada pembelajaran yang lebih inklusif.
Majlis seterusnya menyaksikan perasmian ruang sensori berkenaan oleh Dr Mustazah dan diikuti dengan lawatan untuk menyaksikan kemudahan serta peralatan sensori yang terdapat di ruang yang telah melalui projek penambahbaikan berkenaan.

Pegawai Pendidikan dan Ketua Guru SEN di Sekolah Rendah Dato Marsal, Dr Nurafizzah dipetik menerangkan bagi kanak-kanak autistik, bilik darjah biasa kadang-kadang boleh menjadi sangat luar biasan bagi mereka.
“Mereka mungkin mengalami beban deria yang berlebihan, yang menjejaskan keupayaan mereka untuk belajar dan berinteraksi. Bilik deria ini penting untuk membantu mereka mengawal emosi mereka, kekal tenang dan melibatkan semula deria mereka dalam persekitaran yang selamat dan tersusun,” jelasnya.

Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, kumpulan SPACEmakers telah mengendalikan siri aktivi mengumpul dana dan kesedaran termasuk penyertaan dalam Karnival Pendidikan Khas dan #BLUESQUAD March semasa acara Run for Inclusion di Jerudong Park, baru-baru ini, yang menyaksikan sokongan lebih 70 peserta.
Menerusi aktiviti amal dan penglibatan masyarakat berkenaan, kumpulan itu berjaya untuk mengumpul dana bagi penambahbaikan bilik darjah menerusi tajaan in-kind, sumbangan wang tunai dan derma orang ramai.

