Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ruang solat tambahan Masjid Kg Salambigar telah siap

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Kira-kira 700 orang jemaah kini dapat menunaikan ibadah dengan lebih selesa selepas siapnya projek penambahan bangunan baharu Masjid Kampung Salambigar yang menelan kos melebihi $900,000.

    Sebagai tanda kesyukuran, satu Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat telah diadakan petang tadi yang diungkayahkan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Salambigar bagi menzahirkan rasa syukur dan menghargai usaha berterusan dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah dan perpaduan masyarakat.

    Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Badaruddin hadir selaku tetamu kehormat ke majlis berkenaan.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Salambigar, Dato Seri Setia Haji Adam bin Ahmad; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU), Haji Shamsol bin Haji Omar; serta Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Misle bin Haji Abd Karim.

    Turut hadir ialah pengarah-pengarah, pegawai kanan dan kakitangan KHEU, ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah masjid berkenaan serta guru-guru dan penuntut sekolah-sekolah ugama sekitar kawasan tersebut.

    Dalam ucapan alu-aluan, Imam Masjid Kampung Salambigar merangkap Pengerusi Bersama Ahli Jawatankuasa Bangunan Tambahan Masjid, Haji Abdul Halim bin Haji Bungsu menjelaskan bahawa idea pembinaan bangunan tambahan ini tercetus hasil daripada satu sumbangan besar seorang individu.

    Katanya, daripada sumbangan itu, jawatankuasa takmir telah bersepakat untuk membina bangunan tambahan bagi menampung jumlah jemaah yang semakin ramai untuk Sembahyang Jumaat, Sembahyang Tarawih dan Sembahyang Sunat Hari Raya dan telah siap sepenuhnya pada 19 Jun lalu.

    “Perancangan ini menjanjikan pulangan saham yang besar di hari kekal nanti. Ia mendapat sokongan tidak putus-putus daripada para jemaah, individu, syarikat serta persatuan. Alhamdulillah dengan izin Allah jua, bangunan tambahan ini telah mula digunakan pada 10 Zulhijjah 1447 bersamaan 7 Jun 2025,” jelas beliau.

    Beliau turut menambah bahawa bangunan utama Masjid Kampung Salambigar mula digunakan pada tahun 1997 dan kini telah berusia lebih 28 tahun. Bersempena dengan usia melebihi Jubli Perak itu, majlis pada hari berkenaan turut diselajurkan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada imam, bilal, ahli jawatankuasa takmir serta para penyumbang dan kontraktor yang telah menabur jasa dalam pembangunan dan pengimarahan masjid.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Abdul Rahman bin Haji Matersad, diikuti dengan persembahan Dikir Marhaban serta bacaan Doa Selamat.

    Seterusnya, majlis turut menyaksikan penandatanganan plak perasmian sebagai simbolik kepada selesainya projek penambahan bangunan baharu tersebut, sebelum para jemputan dibawa melawat pameran yang memaparkan perjalanan dan maklumat pembangunan masjid berkenaan.

    Penambahan bangunan baharu ini diharap akan terus memperkukuh peranan masjid tersebut bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat aktiviti keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan.

    Semua di atas: Antara suasana semasa majlis kesyukuran tersebut. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Sesi bergambar ramai semasa majlis tersebut. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda