Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rubah jadi haiwan kesayangan?

    NOVOSIBIRSK, RUSIA – Menikmati cahaya matahari di kawasan laman rumah mereka, Sergei Abramov dan isterinya Tatiana sedang bermain-main dengan binatang kesayangan mereka, Plombir, yang sedang menggoyang-goyangkan ekornya dan menerima makanan istimewa kerana mematuhi arahan tuannya.

    Namun Plombir, dengan namanya diberi sempena bulu putihnya yang sama warna dengan aiskrim Soviet kesukaannya, bukan sahabat haiwan kanin terbaik Abramov.

    Sebenarnya haiwan itu adalah seekor rubah, dibiakkan oleh ahli sains Rusia sebagai sebahagian daripada uji kaji berdekad-dekad lamanya di Siberia untuk mengkaji bagaimana haiwan liar dijinakkan.

    Plombir berasa gembira untuk dibawa berjalan-jalan dengan diikat pada tali cawak tetapi, tatkala ia menuju ke reban ayam, adalah jelas kesemua naluri haiwannya masih belum hilang.

    “Ya, haiwan tersebut cuba memakan ayam kami dan melarikan diri,” kata Abramov, 32, yang tinggal di pinggir bandar ketiga terbesar Rusia di Novosibirsk.

    Tatyana Abramova dan anak lelakinya Timofei bermain-main dengan rubah Plombir di halaman rumah mereka di luar Bandar Siberia Novosibirsk. – AFP

    Pelajar veterinar memeriksa rubah di pusat rubah Belyayev, Institut Sitologi dan Genetik Akademi Sains Rusia di luar bandar Siberia Novosibirsk. – AFP

    Isterinya, ahli biologi Tatiana Abramova, 33, mengaku dia sentiasa menyimpan impian untuk hidup bersama rubah.

    Dia mengaku Plombir adalah ‘ramah dan baik hati’ tetapi tidak selalu patuh pada arahannya.

    “Dia melompat di atas meja, atau melompat ke dalam peti sejuk. Dia mencuri barang dan menyembunyikannya,” katanya.

    Haiwan yang begitu aktif adalah lebih sesuai untuk tinggal di luar rumah, menurut pasangan itu, dan mereka memperuntukkan satu ruang yang luas di halaman mereka untuk dijadikan rumah Plombir.

    Haiwan tersebut suka diusap, boleh melakukan aksi menarik dan sentiasa tidak sabar-sabar untuk bermain – sifat yang jarang kelihatan dalam kebanyakan rubah, namun tidak mengejutkan memandangkan Plombir dan keturunannya dibiakkan dan dibesarkan oleh ahli sains untuk menjadi binatang peliharaan jinak.

    Pada tahun 1959, ahli genetik Soviet Dmitry Belyaev dan Ludmila Trut melancarkan uji kaji di sebuah ladang di pusat penyelidikan saintifik Akademgorodok berhampiran Novosibirsk.

    Matlamat mereka adalah untuk menjinakkan musang dan memahami bagaimana keturunan serigala berkenaan berubah menjadi anjing yang setia dan penyayang yang kami ketahui sekarang.

    Selama beberapa dekad, para penyelidik di ladang tersebut telah memilih haiwan yang paling peramah untuk tujuan pembiakan. Yang lainnya dijual sebagai binatang kesayangan.

    Pemilihan khusus ini mengubah segala-galanya dalam tubuh badan haiwan berkenaan, kata Yuri Gerbek, salah seorang daripada 15 ahli sains yang bekerja di pusat yang menjadi tempat tinggal kepada hampir 1,000 ekor rubah.

    Lebih-lebih lagi, pemilihan yang tegar ini telah mengubah pigmen rubah dan memendekkan muncung mereka.

    “Kami cuba memahami gen yang mana telah berubah dan bagaimana ia berubah,” jelas Gerbek.

    Beliau menambah bahawa kumpulan penyelidik mengurung rubah liar serta jinak ‘untuk dijadikan perbandingan.’ Namun disebabkan kekurangan pembiayaan, haiwan berkenaan dikurung dalam kurungan lama dan berkarat.

    Belyaev meninggal dunia pada 1985 dan uji kaji itu hampir-hampir dihentikan disebabkan kekurangan wang semasa kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991 dan krisis ekonomi yang menyusuli.

    Bagaimanapun, ia bertahan malah telah menerima tumpuan antarabangsa sejak kemunculan teknik urutan DNA yang membolehkannya mengkaji kod genetik rubah.

    “Minat komuniti saintifik masih amat kukuh,” beritahu ahli genetik AS Adam Wilkins kepada AFP.

    Ia ternyata benar sejak kumpulan penyelidik mengkaji kesan penjinakan ke atas otak rubah dan terutamanya tahap oxytocin, dikenali sebagai hormon kasih sayang.

    Kajian telah menunjukkan bahawa oxytocin memupuk tingkah laku perlindungan, empati dan perasaan kasih sayang, dan ia mungkin memainkan satu peranan penting dalam mengubah rubah menjadi binatang peliharaan yang lebih baik.

    Namun uji kaji itu mungkin juga menawarkan ruang dalam evolusi manusia – terutamanya teori yang wujud sekarang mengatakan moyang manusia kami menjadikan diri mereka menyukai kehidupan di rumah, menurut Wilkins.

    Ia merupakan satu perbandingan yang sesuai “disebabkan kebanyakan perubahan yang telah dialami oleh rubah jinak kelihatan tak ubah seperti perubahan yang dikaitkan dengan evolusi manusia,” kata Wilkins.

    “Penemuan penting masih perlu dibongkar,” tambah beliau. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda